Oleh: Noraini Nordin
Sebelum tirai tahun 2024 berlabuh, Kerajaan Madani terus konsisten menabur kebaikan serta bermurah hati bagi menceriakan rakyat negara ini dengan pelbagai inisiatif serta bantuan yang telah diberikan meliputi pelbagai golongan tanpa mengira kaum.
Kali ini sifat perihatin serta kasih sayang Kerajaan Madani melibatkan lebih seratus ribu pelajar-pelajar Tingkatan Enam seluruh negara yang akan memulakan sesi persekolahan 2025/2026 pada Februari tahun depan.
Berita gembiranya adalah mereka bakal menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 setiap seorang yang bakal diagihkan kepada para pelajar tersebut pada Febuari 2025.
Umpama mendapat hadiah daripada Kerajaan Madani menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) , sudah pasti para pelajar terbabit merasa dihargai serta menceriakan lagi mereka yang bakal menyambung semula persekolahan di tingkatan enam tahun depan.
Buat pertama kalinya dalam sejarah bantuan tersebut diberikan kepada para pelajar tingkatan enam supaya mereka terus bersemangat untuk menyambung pelajaran selepas mengharungi pasca- Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) .
Mengulas mengenai BAP tersebut , Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dengan peluasan BAP itu dapat meringankan bebanan serta bermanfaat kepada para pelajar terbabit.
CERMINAN KEPRIHATINAN KERAJAAN MADANI
Jelas Fadhlina lagi, bantuan tersebut melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta dan ini adalah cerminan keprihatinan Kerajaan Madani yang sentiasa berusaha meringankan beban kewangan ibu bapa serta penjaga dalam melakukan persediaan keperluan sebelum bermula sessi persekolahan.
“Inisiatif itu juga membuktikan komitmen berterusan KPM untuk terus memperkasakan pendidikan selain untuk menggalakkan pelajar memilih pendidikan tingkatan enam selepas mereka menamatkan persekolahan di peringkat SPM”.
“Kita mahu anak-anak tingkatan enam ini terus bersemangat menimba ilmu dan meneruskan persekolahan mereka.
“Kita harap inisiatif untuk tingkatan enam ini akan dapat kita tambah baik lagi kerana tingkatan enam sangat penting, ia adalah pasca-Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan khususnya untuk menjamin akses pendidikan kepada semua,” ujar beliau lagi.
Jelas Fadhlina lagi, inisiatif itu juga adalah komitmen berterusan KPM untuk memperkasakan Pendidikan selain menggalakkan pelajar memilih pendidikan tingkatan enam selepas SPM.-Media Perpaduan