KUALA LUMPUR: Forum Ekonomi Malaysia 2025 (FEM2025) yang dianjurkan oleh Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu landasan utama untuk rakyat bersama-sama merancang masa depan ekonomi negara.
FEM2025 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 Januari 2025.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata dengan Malaysia bersedia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, FEM2025 menjadi medan penting untuk memperkukuh asas ekonomi negara sambil membincangkan bagaimana rakyat dapat menghadapi cabaran global dengan lebih yakin.
“Tahun ini, fokus FEM2025 adalah jelas – meletakkan Malaysia di landasan yang kukuh untuk pertumbuhan mampan, progresif, dan inklusif.
“Pendekatan ini bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan angka ekonomi, tetapi memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat manfaat secara langsung daripada dasar-dasar yang dirangka,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi beliau.
Rafizi berkata, di bawah aspirasi Ekonomi MADANI, forum ini mengumpulkan pelbagai pemegang taruh, daripada penggubal dasar, ahli ekonomi, komuniti perniagaan, pelabur, sehingga rakyat biasa, untuk mencetuskan perbincangan dan penyelesaian yang relevan dengan cabaran semasa.
“Acara ini akan menyaksikan pembabitan langsung menteri-menteri Kabinet yang bakal berkongsi rancangan mereka, pakar ekonomi dan akademik ternama, baik dari dalam mahupun luar negara serta pemimpin korporat dan profesional yang membawa perspektif segar tentang peluang ekonomi masa depan,” katanya.
Selain Anwar dan Rafizi, anggota Kabinet lain yang dijadual akan menyertai FEM2025 termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Dijangka turut serta adalah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.-BH Online