Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak bersetuju dengan tindakan menahan dan mendakwa mana-mana pihak yang melakukan kritikan kepada kerajaan dan beliau sendiri.

Perdana Menteri berkata, ia termasuklah tindakan penahanan yang dilakukan terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza yang membuat karikatur serta kenyataan berbaur memperlekehkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

Katanya, tindakan penahanan dan pendakwaan tidak seharusnya diambil jika kritikan yang dibuat itu tidak keterlaluan hingga menyentuh aspek raja, agama dan kaum (3R).

Namun beliau berkata, jika kes terbabit membabitkan Majlis Raja-Raja, ia adalah di luar bidang kuasanya.

“Fahmi Reza saya tidak setuju didakwa dan ditangkap… secara jujurnya saya berasakan bagi gesaan dan nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, dalam kes kritikan kepada perdana menteri, biar sahajalah.

“Tapi kalau kes membabitkan Raja-Raja, ia di luar bidang kuasa saya. Mana majlis Raja-Raja kata tak setuju, raja-raja disepak terajang macam itu, kerana tidak jawab dan mereka bukan dalam permainan politik.

“Kena ingat juga kadang hasutan itu menyentuh perasan agama yang kuat,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Sebelum ini, polis merekodkan keterangan Fahmi untuk siasatan karikatur serta kenyataan berbaur memperlekehkan pelantikan Musa.

Siasatan dimulakan selepas laporan dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sementara itu, mengulas penggunaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) yang lebih meluas, Perdana Menteri berkata, ia penting dalam menangani isu membabitkan pornografi, penderaan dan buli siber.

Beliau turut mengambil contoh kes kematian membabitkan pempengaruh media sosial A Rajeswary, yang lebih dikenali sebagai Esha, Julai lalu yang memerlukan tindakan tegas diambil.-BH Online -BH Online