Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek infrastruktur yang mampu menjana kegiatan ekonomi khususnya di 10 daerah miskin negara ini menjadi salah satu fokus dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata susulan itu, pihaknya merangka strategi khusus sebagai usaha agar rakyat di 10 daerah termiskin itu mampu dikeluarkan dari kategori miskin tegar.

“Kita mahu pastikan bahawa ada kegiatan ekonomi yang memberi pendapatan di kawasan (10 daerah termiskin) ini. Kalau secara berterusan kita mahu keluarkan sesebuah keluarga daripada (kategori) miskin tegar tapi peluang pendapatan di sana tidak ada.

“Saya percaya bahawa kita akan fokus kepada daerah yang memang termiskin ini dimana lapan (daerah) ini adalah dari Sabah. Jadi ada kerangka baru yang dibagi tumpuan mengikut daerah untuk menghasilkan aktiviti menjana pendapatan.

“Kalau sebelum ini, sebahagian besar daripada dasar dan pendekatan kerajaan ialah secara makro. Ia tidak membezakan sangat di antara daerah miskin ini dengan daerah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Libat Urus Rancangan RMK13 Negeri Sabah Peringkat Persekutuan Bersama Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk James Ratib.

Rafizi turut menjelaskan pihaknya juga berperanan untuk melaksanakan inisiatif membantu rakyat keluar dari kategori miskin tegar walaupun terdapat jabatan atau agensi kerajaan yang membantu rakyat menerusi saluran bantuan.

“Kita ada strategi khusus untuk campur tangan terus di 10 daerah termiskin ini. Barulah kita boleh memastikan usaha mengeluarkan keluarga dari miskin tegar ini berjaya tanpa mereka bergantung sepenuhnya kepada (bantuan) wang tunai setiap bulan daripada jabatan atau agensi kerajaan,” katanya.-BH Online