KUALA LUMPUR: Semua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) diminta melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan (spread out) sekurang-kurangnya tiga tahun berkuat kuasa hingga akhir 2026, bagi mengurangkan beban pemegang polisi yang mengalami peningkatan kenaikan premium.
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini berkata, ia sebagai langkah interim yang dipersetujui oleh industri insurans dan takaful untuk membantu pemegang polisi yang mengalami perubahan pada premium produk MHIT.
Ia adalah satu daripada empat langkah yang diumumkan BNM hari ini.
BNM berkata, ia sebagai langkah interim yang dipersetujui oleh industri insurans dan takaful untuk membantu pemegang polisi yang mengalami perubahan pada premium produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan.
“Menerusi langkah ini, sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan sebanyak kurang daripada 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bank pusat itu juga berkata, langkah lebih menyeluruh untuk menangani kos perubatan yang semakin meningkat di Malaysia sangat diperlukan bagi menangani kenaikan premium pada masa hadapan dan memastikan produk MHIT terus mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, langkah interim lain yang diperkenalkan ialah penangguhan pelarasan premium bagi warga emas, iaitu pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas yang memiliki pelan minimum akan menikmati penangguhan pelarasan premium selama setahun dari ulang tahun polisi mereka.
Langkah interim ketiga ialah pemulihan polisi, iaitu pemegang polisi yang menyerahkan atau kehilangan perlindungan pada 2024 akibat pelarasan premium boleh memohon bagi mengaktifkan semula polisi tanpa perlu melalui proses pengunderaitan tambahan.
“Langkah interima keempat ialah pilihan produk alternatif, iaitu semua pengendali insurans/takaful (ITO) akan menawarkan produk MHIT alternatif dengan premium sama atau lebih rendah selewat-lewatnya pada akhir 2025,” katanya.
Bagi pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum bagi produk MHIT yang dibeli, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) akan menangguhkan pelarasan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk sementara waktu iaitu selama satu tahun dari ulang tahun polisi mereka.
“Langkah interim di atas tidak terpakai pada kenaikan premium yang boleh dikenakan apabila pemegang polisi beralih ke kategori umur yang lebih tinggi. Hal ini akan diuruskan secara berasingan oleh ITO,” katanya.
BNM berkata, pemegang polisi yang sudah menyerahkan polisi atau polisi MHIT luput pada 2024 disebabkan oleh penetapan semula premium ini boleh menghubungi syarikat insurans masing-masing untuk memohon mengaktifkan semula berdasarkan premium yang dilaraskan menerusi langkah terbabit tanpa keperluan pengunderaitan (underwriting) tambahan.
Katanya, semua ITO akan menyediakan produk MHIT alternatif yang bersesuaian pada premium yang sama atau lebih rendah bagi pemegang polisi yang tidak berminat untuk meneruskan pelan MHIT sedia ada dan yang premiumnya ditetapkan semula.
“ITO yang tidak menyediakan produk alternatif yang sesuai pada masa ini hendaklah menawarkan produk berkenaan kepada pemegang polisi selewat-lewatnya pada penghujung 2025. Pertukaran kepada produk MHIT alternatif tidak akan memerlukan sebarang pengunderaitan tambahan atau membabitkan apa-apa kos pertukaran.
“Langkah ini, bersama-sama dengan pembaharuan lain bagi membendung inflasi kos perubatan, akan mengelakkan pelarasan premium yang tinggi pada masa hadapan. Makluman berkenaan dengan langkah ini oleh ITO kepada pemegang polisi individu akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Pemegang polisi juga boleh menghubungi ITO masing-masing mulai 15 Januari 2025,” kata bank pusat.-BH Online