KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan penguatkuasan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 membabitkan 14 barang selama lima hari bermula Isnin ini.
Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata barang berkenaan meliputi ayam tua hidup (di Sarawak sahaja), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar, ubi kentang import China dan babi hidup (peringkat ladang sahaja).
Katanya, penguatkuasaan kawalan harga maksimum bagi kepak ayam, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) memfokuskan kepada bekalan di Sabah, Sarawak serta Labuan sahaja.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti ketersediaan penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan faktor-faktor lain-lain.
“Selain itu, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan
daripada rakan strategik Kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri,” katanya pada sidang media mengumumkan skim itu sempena Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Krismas di UTC Sentul, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalannya, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Mohd Sayuthi Bakar.
Menerusi pelaksanaan SHMMP Krismas 2024, Armizan berkata ia akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat.
Beliau berkata orang ramai juga boleh menyemak harga maksimum yang ditetapkan untuk skim perayaan itu di peringkat pemborong dan peruncit, menerusi laman web www.kpdn.gov.my.
“Pegawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara turut akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan serta penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang
tidak beretika,” katanya.
Bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal sentiasa mencukupi, Armizan berkata KPDN akan terus menjalinkan kerjasama dengan KPKM sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan.
Beliau turut memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.
“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya,” tegasnya.
Bersempena dengan pengumuman SHMMP Krismas 2024, Armizan turut melancarkan PJRM sempena perayaan itu.
Jelasnya ia adalah inisiatif baharu yang dilaksanakan KPDN bermula tahun ini untuk menganjurkan program jualan itu bagi setiap sambutan perayaan.
“Bagi PJRM Krismas tahun ini, sebanyak 670 PJRM dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.-BH Online