Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia sudah menyalurkan bantuan bernilai lebih RM70 juta daripada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bantuan itu disalurkan melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Palang Merah.

(AAKRP) sehingga kini sudah berjaya mengumpulkan hasil kutipan sebanyak RM99 juta.

“Ya ada sedikit lagi (wang bantuan) dan kita akan serahkan terus kepada pihak Palestin, supaya mereka dapat membina ataupun mengurus semula perigi dimusnahkan serta bantuan perubatan.

“Yang amat diperlukan adalah ketika musim sejuk ini kerana pelbagai kesulitan dihadapi oleh rakyat Palestin terutamanya dari segi pakaian yang boleh menahan kesejukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Malaysia kepada Palestin di bawah Inisiatif Kerajaan Jordan di sini, hari ini.

Malaysia menyerahkan sumbangan sebanyak AS$5 juta kepada Palestin di bawah inisiatif Kerajaan Jordan sebagai menyokong inisiatif diterajui Raja Jordan, Raja Abdullah II Ibn Al Hussein yang bertujuan meringankan penderitaan dan krisis kemanusiaan semakin meruncing di Gaza.

Sumbangan itu diterima oleh Duta Besar Jordan, Dr Ismael Maddallah Suliman Maaytah.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata tabung AAKRP itu dikendali secara telus dengan laporan kewangannya dibentangkan kepada Kabinet setiap tiga bulan.

“Tabung ini setiap tiga bulan sekali, kita laporkan kepada Kabinet. Kepada siapa kita serahkan dan berapa jumlah yang kita serahkan. Kita buat secara telus dan akaun itu boleh dilihat oleh sesiapa sahaja,” katanya.

Justeru, Mohamad berharap lebih ramai pihak akan tampil dan membantu menyalurkan sumbangan kepada tabung AAKRP dalam usaha Malaysia membantu Palestin.-BH Online