DUNGUN: Kementerian Pendidikan menyegerakan kerja membaik pulih sekolah terjejas banjir bagi memastikan sesi persekolahan akan datang tidak terganggu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sudah mengenal pasti sekolah yang terjejas dan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Beliau berkata, bilangan sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini juga agak besar berbanding sebelum ini dan pembaikan segera akan dilaksanakan.
“Setakat ini, kita masih lagi belum menerima laporan penuh daripada JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), saya yakin setiap negeri khususnya Kelantan, Terengganu dan Kedah sedang mempersiapkan laporan berkenaan.
“Kita jangka ia dapat kita muktamadkan selepas kita terima laporan semua negeri (dan) biasanya, kita akan siapkan sekolah ini dengan peruntukan bencana maknanya yang kalau kerosakan itu memang tak dapat memberikan suasana kondusif.
“(Jadi) peruntukan ini kita bagi serta merta manakala untuk sebelum sesi persekolahan akan datang dibuka, kita akan baiki semua kerosakan itu dari segi penyelenggaraan.
“Jadi kita masih menunggu kerana saya difahamkan bilangan sekolah yang terbabit kali ini banyak berbanding daripada biasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jengal, di sini, hari ini.
Terdahulu, Fadhlina tiba di sekolah berkenaan pada jam 10.40 pagi dan meluangkan masa hampir satu jam bersama pelajar, pendidik, serta warga JPN Terengganu.
Selepas mendengar taklimat mengenai situasi banjir di Terengganu, Fadhlina turut berterima kasih atas komitmen diberikan dalam menguruskan pelajar serta murid yang terkesan.
Sejurus selepas itu, Fadhlina turut meluangkan masa bersama pelajar Tingkatan Lima di sekolah berkenaan dan sempat ‘mengajar’ bersama pelajar yang ada.-BH Online