Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi amaran mana-mana pengusaha feri yang menaikkan kadar tambang untuk warga tempatan dan pelancong domestik tidak layak menerima subsidi diesel.

Menterinya, Anthony Loke berkata, beliau kesal dengan tindakan terburu-buru pengusaha feri Langkawi membuat pengumuman menaikkan kadar tambang feri hari ini.

Katanya, MOT baharu saja mendapat kelulusan prinsip dari Kementerian Kewangan (MOF), Jumaat lalu untuk memberi bantuan subsidi diesel kepada pengusaha feri di pulau-pulau utama di seluruh negara termasuk Langkawi bermula 1 Januari depan. 

“Saya memberi amaran kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak akan layak menerima subsidi diesel sekiranya mereka meneruskan tindakan menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik .

“Adalah lebih baik semua pengusaha menarik balik pengumuman ini serta merta dan berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, dilaporkan Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) melalui satu kenyataan memaklumkan harga tiket bagi perkhidmatan feri bagi setiap perjalanan ulang-alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan dinaikkan antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Januari ini.

Pengurus Operasi Ferry Line, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, kenaikan tambang itu membabitkan kategori, pelancong warganegara, pelancong bukan warganegara dan penduduk tempatan.

Katanya, bagi pelancong warganegara, perjalanan sehala dari Kuala Perlis ke Langkawi, harga asal RM21 untuk dewasa dinaikkan RM3 menjadi RM24, manakala kanak-kanak pula RM16 dinaikkan dengan kadar sama menjadi RM19.

“Kadar tambang laluan Kuala Kedah ke Langkawi, dari RM26.50 dinaikkan RM3.50 menjadi RM30 untuk dewasa, kanak-kanak pula RM20.50 dinaikkan dengan kadar sama menjadi RM24,” katanya.-BH Online