Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengekalkan kadar elaun RM8 sehari untuk peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan bermula bulan depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kenaikan elaun itu tidak wajar dibangkitkan ketika ini berikutan program itu belum bermula.

“Setakat hari ini kita kekal (elaun RM8 sehari untuk peserta PLKN 3.0).

“Bila sudah mula nanti, barulah kita akan lihat semula isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek di bawah Program Kampung Angkat MADANI – MINDEF di Balai Raya Kampung Baru Pasak, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Keselamatan dilaporkan membentangkan laporan berkaitan PLKN 3.0 termasuk mengesyorkan kadar elaun peserta program itu dinaikkan ke RM50 sehari.

Jawatankuasa berkenaan dilaporkan menganggap kadar elaun RM8 sehari sebagai tidak mencukupi dan terlalu rendah.

“Jawatankuasa mengesyorkan supaya kerajaan mempertimbangkan kenaikan kadar elaun berikutan peningkatan kos sara hidup dan sebagai insentif bagi peserta untuk menyertai program berkenaan,” menurut laporan itu lagi.

PLKN 3.0 dijadualkan dilaksana secara berperingkat bermula 12 Januari ini membabitkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera, di Kuala Lumpur dan Pahang, sebelum diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, MINDEF yakin insiden buli dan provokasi antara peserta PLKN 3.0 mampu dielakkan.

Katanya, ia berikutan tempoh PLKN 3.0 yang berlangsung tidak melebihi dua bulan selain ia dilaksanakan di dalam kem tentera.

“PLKN 3.0 akan dilaksanakan dalam tempoh masa 45 hari sahaja dan berasaskan kepada itu kita akan pastikan insiden buli dan provokasi tidak berlaku apatah lagi ia dibuat dalam kem tentera.

“Berasaskan kepada faktor itu kita percaya soal berkenaan (buli dan provokasi) akan dapat ditangani,” katanya.-BH Online