KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tunggakan bil perubatan warga asing yang menerima rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan bagi tempoh Disember 2023 hingga September tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 9.58 peratus.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata jumlah keseluruhan bil yang direkodkan di seluruh negara adalah RM40.08 juta.
Ia bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak RM3.84 juta dengan baki tunggakan ketika ini adalah RM36.24 juta.
“Kementerian ini memandang serius terhadap rekod tunggakan bil perubatan membabitkan pesakit warganegara asing yang menerima perkhidmatan kesihatan di fasiliti KKM.
“Hasil daripada tindakan yang diambil KKM berhubung tuntutan bayaran bil perubatan warganegara asing, berlaku penurunan tunggakan yang direkodkan sepanjang Disember 2023 hingga September tahun ini,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) yang meminta Menteri Kesihatan memperincikan sejauh mana kajian terperinci dijalankan terhadap prosedur penyediaan deposit dan jaminan bank, kadar caj serta kaedah kutipan bagi warga asing yang mendapatkan rawatan di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).
April lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni mengesahkan sebanyak RM40 juta tunggakan bil perubatan membabitkan warga asing yang menerima rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan setakat tahun lalu.
Dzulkefly dalam jawapannya turut memberitahu KKM mengambil beberapa langkah wajar bagi menangani isu itu, antaranya menetapkan majikan menyediakan jaminan bank pada kadar tertentu.
“KKM mengadakan perjanjian dengan syarikat swasta di bawah prosedur permohonan mendapatkan kemudahan rawatan pesakit dalam di hospital KKM dengan menggunakan surat jaminan syarikat melalui penyediaan jaminan bank.
“Melalui perjanjian ini, syarikat swasta perlu menyediakan jaminan bank mengikut bilangan pekerja. Misalnya, sebuah syarikat swasta perlu menyediakan jaminan bank berjumlah RM2,500 jika bilangan pekerjanya adalah 200 orang atau kurang.
“Sekiranya bil perubatan tidak dijelaskan dalam tempoh ditetapkan, potongan jaminan bank akan dilaksanakan oleh KKM untuk menjelaskan bayaran bil tertunggak,” katanya.
Dzulkefly berkata sehingga September lalu, sebanyak 823 syarikat sudah menandatangani perjanjian jaminan bank dengan KKM untuk kemudahan perubatan membabitkan pekerja asing mereka.
“KKM pada masa ini sedang meneliti semula prosedur penetapan deposit dan jaminan bank dari segi kadar dan tatacara kutipan agar jumlahnya mencukupi untuk membiayai kos perubatan warganegara asing berkenaan,” katanya.-BH Online