KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai negara merdeka akan meneruskan hubungan baik dan bebas dengan negara Barat mahupun Timur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menyampaikan ucap tama merasmikan Kumpulan Visi Strategik: Interaksi Antara Russia dan Dunia Islam – Era Kemunculan Multipolariti, di sini, hari ini, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia juga kekal konsisten dalam isu kemanusiaan dan keadilan.
Mengenai kerjasama di antara Russia dan dunia Islam, beliau berkata, ia bukan hanya bersifat politik, tetapi juga berpaksikan ekonomi dan budaya seperti yang ditunjukkan melalui inisiatif BRICS.
“Russia menunjukkan kemajuan besar dalam sektor pertanian, menjadi pengeksport utama gandum, membantu menangani cabaran keselamatan makanan global.
“Malaysia aktif dalam membangun ekosistem institusi kewangan syariah, termasuk bank dan takaful. Kami percaya pengalaman dan teknologi Russia boleh melengkapi usaha ini, termasuk dalam sektor teknologi tinggi,” katanya.
Mesyuarat dua hari di ibu negara bermula hari ini, dihadiri lebih 200 wakil dari 32 negara, berfungsi sebagai platform untuk meneroka peluang kerjasama global sambil menangani isu mendesak dihadapi komuniti Muslim dan masyarakat lain.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Luar Russia, Andrey Rudenko; Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan Pengarah Majlis Mesir bagi Hal Ehwal Antarabangsa (ECIA), Ezzat Saad.
Selain itu, Ketua Pengarah Hal Ehwal Politik Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mohamed Salah Tekaya; Hakim Agung Palestin, Mahmoud Sudqi Al-Habbash dan Setiausaha Agung Kesatuan Agensi Berita OIC (UNA), Muhammad Al-Yami.
Anwar turut mengajak usaha global dalam mengamalkan nilai kemanusiaan, keadilan dan ihsan dalam memerangi kebangkitan fasisme, rasisme dan tiada tolak ansur.
Beliau menekankan, prinsip as-Samud, rahmah dan ehsan atau nilai toleransi, belas kasihan dan kemanusiaan, harus memandu dunia Islam dalam menangani cabaran global.
“Kita fikir dengan pembangunan, kemajuan dan ilmu, kita akan memperoleh kebijaksanaan yang lebih besar. Kita berharap akan ada lebih banyak toleransi dia antara orang Islam dan pemimpin agama dari pelbagai denominasi, tapi ini tidak berlaku.
“Kita berada dalam era tragedi besar, kemanusiaan sedang runtuh, terutama dalam kalangan umat Islam. Tanggungjawab kita adalah untuk mempromosi pemahaman baharu berdasarkan toleransi (tasamuh), rahmah dan ihsan kerana itulah yang diajar Islam.
“Penting bagi kita menggunakan persidangan seperti ini untuk menyampaikan mesej berkenaan,” katanya menambah platform seperti Dunia Islam-Russia perlu digunakan untuk mempromosikan nilai-nilai toleransi, belas kasihan dan kemanusiaan kepada masyarakat antarabangsa.
Ini kerana, katanya, nilai-bilai itu bukan saja relevan untuk dunia Islam, tetapi juga penting bagi masyarakat global bekerjasama menentang kebencian dan mewujudkan dunia di mana kemanusiaan berkembang melalui saling memahami dan menghormati.
Tambahnya, dalam menangani isu-isu berkenaan, pemimpin agama dan politik memainkan peranan penting.
Sebagai contoh, Anwar berkata tindakan pantas Malaysia terhadap insiden tiada toleransi agama menunjukkan komitmen negara untuk memelihara martabat semua agama.
Beliau berkata, walaupun Islam adalah agama Persekutuan, negara ini tetap mengamalkan dan menegakkan nilai toleransi.
“Pengiktirafan kami bahawa setiap rakyat mempunyai hak untuk mengamalkan kepercayaan mereka adalah penting dan kami menyeru mesej yang konsisten dan koheren daripada negara lain.
“Kami mengambil semua langkah yang mungkin untuk memastikan umat Islam mematuhi ajaran agama mereka tetapi pada masa sama, menunjukkan toleransi, kesabaran dan rasa hormat yang tinggi terhadap martabat lelaki dan wanita semua agama,” katanya.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun, merangkumi Brazil, Russia, India dan China sebelum disertai Afrika Selatan pada 2010.
Blok itu telah berkembang dengan meliputi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Oktober lalu, Malaysia diiktiraf satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS walaupun belum lagi menjadi ahli penuh.
Negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul AS$26.6 trilion atau 26.2 peratus kepada KDNK dunia, hampir menyamai kekukuhan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7).
G7 ialah kumpulan tidak rasmi tujuh daripada ekonomi maju dunia merangkumi Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.-BH Online