SEREMBAN: Industri rel di negara ini kini membuka kira-kira 25,000 peluang pekerjaan baharu kepada lepasan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr AhmadZahid Hamidi berkata untuk itu, kerajaan kini giat melahirkan tenaga mahir tempatan bagi memenuhi keperluan berkenaan.
Katanya, usaha itu mesti dimulakan menerusi program latihan dan pembangunan kemahiran modal insan bagi memperkukuh ekosistem rel sedia ada.
“Saya sebutkan bahawa di luar sana, terdapat 25,000 peluang pekerjaan dalam bidang ini (rel), dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersedia untuk melatih pelajar-pelajar bagi menerobos peluang ini.
“Dengan gaji minimum dalam bidang ini bermula dari RM3,000 dan meningkat sehingga RM7,000 bergantung kepada kepakaran pelajar, ia seharusnya dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kembali Kereta Api Kelas SCS 92 yang dipulihkan di bawah projek Penyelenggaraan, Pembaikan dan Pengubahsuaian (MRO) oleh M Rail Technics Sdn Bhd (RAILTEC) di Depoh EMU, Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban di sini, petang tadi.
Yang turut hadir EXCO Kerajaan Negeri, J Arul Kumar; Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Kumpulan Destini dan M Rail Technics Sdn Bhd (RAILTEC), Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Luar Bandar dan Wilayah berkata sebelum ini kerajaan terpaksa menghantar pelajar ke luar negara untuk mendapatkan kemahiran tetapi kini segalanya dilakukan di sini.
Beliau bagaimanapun menegaskan masih terdapat keperluan untuk menghantar pelajar ke luar negara seperti di Australia bagi memperoleh lebih pendedahan dan pengalaman.
“Apa yang penting pengetahuan, kepakaran daripada negara itu dan negara lain wajib dibawa ke negara kita kerana Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju suatu ketika nanti,” katanya.
Ahmad Zahid berkata UniKL terbabit secara langsung untuk melatih tenaga profesional, teknikal dan vokasional dalam semua bidang termasuk MRO kapal terbang dan kini kereta api serta kapal.
“UniKL sanggup bekerjasama bagi melatih pekerja mahir bagi memenuhi keperluan sektor perindustrian dan pengangkutan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Kesesakan Lalu Lintas dan Keselamatan Jalan Raya, menegaskan menjadi hasratnya untuk melihat Malaysia berada di landasan tepat menjadi peneraju pengangkutan rel serantau dan global.
Menurutnya, masalah kesesakan jalan raya terutamanya di bandar-bandar besar terlalu mendesak dan perlu mencari penyelesaian masalah ini.
“Memang benar banyak cadangan untuk kita sampai ke satu destinasi mesti melalui pengangkutan awam. Namun apa yang lebih penting kesediaan pengangkutan awam mesti berada di tahap tertinggi termasuklah rel,” katanya.-BH Online