Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melakukan penstrukturan semula bagi operasi perniagaan bazar Ramadan di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata ia bertujuan memastikan operasi perniagaan sepanjang tempoh itu dapat berlangsung secara lebih tersusun.

Katanya, penstrukturan semula itu membabitkan kajian ke atas jumlah lesen yang akan dikeluarkan serta kadar sewaan bakal dikenakan ke atas operator di bazar Ramadan.

“Selain itu, mana-mana pemegang lesen KL Madani yang berminat untuk berniaga di bazar Ramadan boleh mengemukakan kepada DBKL melalui saluran pendaftaran sedia ada.

“Penstrukturan semula (operasi bazar Ramadan) dibuat memandangkan terdapat beberapa isu berbangkit.

Justeru, kita cuba melaksanakan yang terbaik untuk memastikan perniagaan dapat berjalan seperti biasa, tetapi degan lebih tersusun,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai pembabitan pemegang lesen KL Madani dalam operasi bazar Ramadan.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, pemegang lesen KL Prihatin perlu menjalankan perniagaan secara sendiri dan tidak boleh menggajikan, terutama pekerja asing untuk menjaja bagi pihak mereka.

Katanya, ia selari Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Kuala Lumpur) 2016, menyatakan lesen penjaja dikeluarkan secara individu dan pemegangnya bertanggungjawab penuh ke atas operasi perniagaan, selain menyerahkan hak, memajak atau menyewa lesen kepada pihak lain adalah dilarang.

“DBKL memantau ke atas semua penjaja Lesen Sementara KL Madani dua kali seminggu. Jika berlaku salah guna atau pelanggaran syarat lesen, DBKL akan mengeluarkan Notis Kompaun hingga melaksanakan proses pembatalan lesen.

“Bagi memudahkan pemantauan, DBKL akan memperkenalkan penggunaan khemah, baju,

apron dan topi seragam kepada penjaja bertempoh atau di tepi jalan ini,” katanya menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang).

Terdahulu, Dr Zaliha ketika menjawab soalan asal berkata, permohonan baharu tidak akan dipertimbangkan, sebaliknya hanya membenarkan pembaharuan bagi pemegang lesen KL Madani.

Ini kerana, katanya, hampir 10 peratus atau 433 daripada 4,328 pemegang lesen itu yang masih aktif dan memperbaharui lesen atas jenama KL Madani sejak dikeluarkan pada 10 November 2020.

“Penjaja ini akan dipantau supaya tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat berniaga di lokasi tidak sesuai, kebersihan bandar terjejas kerana ketidakpatuhan terhadap garis panduan dan persaingan ruang awam antara penjaja dan pengguna lain seperti pejalan kaki di kawasan siar kaki atau kaki lima,” katanya.

Mengenai Program Lestari Niaga, beliau berkata, DBKL sedang dan akan menyusun semula penjaja di ibu kota, termasuk pemegang lesen KL Madani dengan memastikan mereka dapat berniaga secara sah di tapak lebih formal dan berstruktur.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, program itu akan diteruskan untuk tahun depan dengan cadangan pelaksanaan 20 projek yang dianggarkan membabitkan 1,300 penjaja.

“Usaha sedang dilaksanakan DBKL melalui Program Lestari Niaga bertujuan menyusun semula penjaja dari lokasi tidak sesuai ke tapak lebih formal dan teratur, bukannya mahu menghapuskan penjaja tepi jalan secara total.

“Kita mahu memastikan mereka dapat terus berniaga dalam persekitaran lebih selamat dan bersih, selaras aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar C.H.A.S.E. yang mesra peniaga kecil,” katanya.-BH Online