KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan pelaburan yang ketara terutama dalam sektor teknologi muktahir ini, wajar dimanfaatkan syarikat tempatan supaya rakyat terus mendapat peluang yang selayaknya.
Perdana Menteri berkata, antara contoh syarikat tempatan boleh dijadikan panduan susulan memanfaatkan pelaburan dalam sektor teknologi ialah CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd (CG Global) di Zon Perindustrian Prai, Pulau Pinang, kerana berjaya menembusi pasaran global.
“Saya titipkan ucapan tahniah dan semangat kepada seluruh warga CG Global (yang mana 80 peratus tenaga kerja adalah wanita) atas kejayaan menembusi pasaran global, dan merupakan antara lain hasil daripada program-program dukungan dan insentif daripada kerajaan,” katanya dalam menerusi hantaran melalui laman X, hari ini.
Anwar memaklumkan, CG Global adalah sebuah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) milik wanita Bumiputera yang merupakan pengeluar utama dalam penyediaan spektrum perkhidmatan CEM (Contract Electronics Manufacturing).
Sementara itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kementeriannya sentiasa memberi tumpuan untuk memastikan usahawan wanita memiliki ruang serta peluang sama dalam usaha mengembangkan perniagaan seperti yang diterajui oleh usahawan lelaki.
“Sebagai peneraju Tonggak Ekonomi bawah Kepengerusian ASEAN 2025, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan terus mengetengahkan inisiatif proaktif yang mengutamakan kesaksamaan jantina dalam keusahawanan, selaras dengan tema ASEAN 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’,” katanya dalam hantaran melalui laman X.
Beliau yang turut menyertai lawatan itu berkata, CG Global telah beroperasi sejak 2016.
“Ketika mula ditubuhkan, mereka hanya menyediakan perkhidmatan untuk syarikat multinasional di sekitar Pulau Pinang dan Ipoh, Perak.
“Kini, perniagaan mereka hampir 100 peratus berasaskan eksport, dengan pelanggan dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Perancis, United Kingdom dan China,” katanya.
Beliau berkata, pekerja CG Global adalah 100 peratus Bumiputera dengan hampir 80 peratus daripadanya ialah wanita yang mana 90 peratus merupakan lepasan diploma dan ijazah.
“Ini memang selaras dengan salah satu keutamaan keberhasilan ekonomi kita, iaitu memastikan golongan usahawan wanita tidak dipinggirkan dalam ASEAN,” katanya.-BH Online