KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan gabungan parti yang sudah berusia 50 tahun itu perlu melepaskan ego demi mencapai kepentingan politik negara.
Beliau turut menekankan bahawa BN mesti bersedia mencipta perubahan yang melangkaui kepentingan parti dalam mengatur agenda politik.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, BN perlu bersedia melihat dari sudut pandang yang lebih luas dan menyusun langkah demi mencapai matlamat lebih besar.
“Sebagai contoh jika kita hendak berbicara mengenai pembahagian kerusi, pastinya UMNO sendiri ingin mendapatkan semula semua 121 kerusi yang pernah ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Namun realitinya, kita perlu bertindak lebih strategik. Kalau dikaji, setiap parti teras pernah mengetepikan ego masing-masing.
“Tatkala penubuhan BN sendiri, UMNO mengetepikan ego untuk bekerjasama dengan PAS. Begitu juga MCA… walaupun seteru, pernah bersama GERAKAN, dan MIC pula bersama MyPPP,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, BN juga perlu bijak menguruskan keutamaan, iaitu kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat, walaupun terdapat keinginan untuk kembali menjadi parti dominan.
Beliau berkata, rakyat kini menilai bukan hanya pada janji tetapi juga tindakan dan keputusan yang menunjukkan kebijaksanaan dalam menguruskan negara.
“Pilihan untuk bersama Kerajaan Perpaduan adalah pengorbanan besar, namun ia juga peluang untuk BN membuktikan bahawa kita adalah komponen dalam gabungan itu yang matang dan bertanggungjawab.
“Menangguhkan keinginan bukan bermaksud melupakan, tetapi memberi laluan kepada agenda lebih besar. Apabila pengorbanan ini dirasai rakyat, maka BN akan kembali dominan seperti yang kita semua harapkan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, terdapat tiga kerangka yang perlu dirungkai bersama untuk BN bergerak ke hadapan.
Beliau berkata, kerangka pertama ialah penjenamaan semula yang mesti mencerminkan transformasi selari dengan cabaran semasa melalui pendekatan proaktif, inklusif dan inovatif.
“BN mesti membina semula identitinya sebagai kuasa dinamik dalam politik Malaysia, dengan naratif yang sesuai dengan kehendak zaman,” katanya.
Kerangka kedua ialah mentakrifkan semula kesesuaian strategi, gerak kerja dan tindakan BN.
Beliau menjelaskan, pendekatan BN dahulu lebih tertumpu kepada cara tradisional dalam menyantuni rakyat.
“Kini, BN perlu berubah menjadi parti yang berasaskan data serta memanfaatkan teknologi terkini untuk memahami sentimen dan corak pemikiran rakyat.
“BN juga perlu mengamalkan budaya politik baharu yang mengutamakan meritokrasi dan intelektualisme,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerangka ketiga ialah menyusun semula dan memperkukuh gerakan akar umbi, membina kepercayaan rakyat, serta menangani cabaran masyarakat dengan pendekatan inklusif dan aspirasi bersama.
“Pendekatan pemilihan calon juga perlu diperkemaskan dengan memberi keutamaan kepada mereka yang aktif di lapangan,” katanya.
Pengerusi itu menegaskan, pemimpin BN perlu turun padang, berkongsi cerita dan menunjukkan empati terhadap rakyat.
Beliau berkata, sikap rendah hati akan menjadikan BN lebih dekat di hati masyarakat.
“Penjenamaan semula perlu disokong dengan strategi moden seperti memperbaharui slogan, bahan kempen dan pengisian media sosial, sekali gus mencerminkan era baharu yang lebih dekat dengan aspirasi anak muda serta generasi digital,” katanya.
BN ditubuhkan pada 1 Jun 1974 oleh Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO.
Gabungan BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Gabungan politik itu dibentuk untuk menggantikan Parti Perikatan, dengan tujuan memperkukuh perpaduan antara pelbagai parti politik di Malaysia.-BH Online