Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedia menimbangkan cadangan menubuhkan sebuah jabatan bagi mengumpul dan mentafsir data terkini pelbagai sektor berkepentingan untuk memantapkan perancangan pembangunan negeri pada masa akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kewujudan jabatan data atau perangkaan di peringkat negeri akan menjadikan usaha merangka dasar atau perancangan lebih pantas dengan adanya data terkini berdasarkan keperluan semasa di Selangor.

Beliau berkata secara umumnya perancangan atau dasar yang dibuat kerajaan negeri sebahagiannya bergantung kepada data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), namun data tersebut bersifat makro dan tidak mengikut trend keperluan Selangor sebagai sebuah negeri.

“Selain data di peringkat nasional oleh DOSM, kita juga memerlukan data yang lengkap dalam semua aspek di Selangor dan ia sepatutnya dikumpul oleh pihak negeri melalui penubuhan satu jabatan yang tetap.

“Kita juga memerlukan data dan kajian berterusan supaya pada masa hadapan saat kita ingin melaksanakan sesuatu dasar atau membangunkan satu blueprint (rangka tindakan), kita mempunyai satu data yang lengkap yang dihasilkan jabatan data kita sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Dialog Shah Alam di sini hari ini.

Pada program itu, Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel) Tan Sri Muhammad Ibrahim yang juga bekas Gabenor Bank Negara menyampaikan syarahan perdana bertajuk Transformasi Ekonomi Malaysia: Perspektif Terhadap Globalisasi dan Perkembangan Geopolitik Dalam Perdagangan, Pekerjaan dan Pendidikan, yang antara lain mencadangkan keperluan mempunyai institusi yang membuat kajian tetap berhubung data dan perangkaan terperinci sektor-sektor tertentu dan berkepentingan di Selangor.

Amirudin berkata penubuhan suatu institusi yang berperanan mengumpul maklumat atau data berkaitan negeri dapat memastikan data atau perangkaan tidak berpusat pada satu jabatan tertentu sahaja selain lebih tepat dan terperinci mengikut trend negeri tersebut.

“Kalau kita hanya tumpu pada data dari peringkat nasional sahaja, ia (dasar atau perancangan) akan berjalan dalam kadar lebih perlahan kerana data tidak menepati keperluan semasa kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Bagaimanapun katanya perkara itu perlu dikaji secara terperinci kerana melibatkan kos, tenaga kerja dan peraturan.– BERNAMA