Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof telah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Pemimpin Islam Terbilang Dunia daripada Forum Kepimpinan Muslim Sedunia (WMLF) yang mengiktiraf kepimpinan dan komitmen teguh beliau dalam memajukan pembangunan mampan.

Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi WMLF Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther dan Presiden Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik Tan Sri Michael Yeoh di Parlimen hari ini.

Ini kerana Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, tidak dapat menerimanya di forum itu yang berlangsung di London, United Kingdom pada 22 November lalu.

Anugerah itu juga bagi mengiktiraf usaha tanpa jemu Fadillah dalam memupuk perpaduan dan kemajuan merentasi pelbagai sektor.

Mohamed Iqbal, menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa dedikasi Fadillah mempromosi kemampanan, perpaduan dan kepimpinan dalam dunia Islam benar-benar memberikan inspirasi.

“Visi dan usaha beliau mencerminkan cita-cita WMLF dan anugerah ini adalah bukti kepada impak berkekalannya dalam memupuk penyelesaian yang dipacu oleh pembangunan yang memberi manfaat kepada komuniti di seluruh dunia,” katanya.

Edisi ke-13 WMLF yang bertema Muslim Leadership in Challenging Times: Fostering Inclusivity and Sustainability, menghimpunkan pemimpin, penggubal dasar, cendekiawan, usahawan dan inovator daripada dunia Islam untuk meneroka strategi bagi memanfaatkan pembangunan ke arah memajukan matlamat pembangunan mampan (SDG).

Dianjurkan bersama oleh KSI, forum itu menekankan bidang kritikal seperti kesaksamaan jantina, pemerkasaan golongan belia, perubahan iklim dan pembinaan keamanan dalam perbincangannya.-Harian Metro Online