PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menawarkan penggantian dokumen seperti sijil lahir dan kad pengenalan yang hilang secara percuma kepada mangsa banjir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata selepas musim banjir, pegawai JPN akan membuka kaunter dan menggerakkan bas bergerak ke kawasan terjejas untuk memastikan urusan tersebut disegerakan.
“Saya berharap usaha kami akan sedikit sebanyak membantu mangsa yang terkesan bagi memudahkan urusan mereka pascabanjir nanti,” katanya menerusi hantaran di laman X rasminya hari ini.
Setakat 8 pagi tadi, 152,377 mangsa banjir direkodkan ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Negeri yang terkesan banjir pada ketika ini ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Melaka, Perlis, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.-Bernama