Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mereka yang berada di kawasan berisiko banjir supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa. 

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara meminta orang ramai tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa terutama dalam situasi yang tidak menentu ketika ini.

“Amaran hujan berterusan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga menunjukkan keadaan cuaca yang berpotensi membawa risiko lebih besar terutama di kawasan yang dinyatakan dalam kategori bahaya, buruk dan waspada.

“Hujan lebat dijangka berlarutan hingga 29 November dan ini memerlukan kita semua lebih bersedia serta berwaspada,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar mangsa yang terjejas banjir terus tabah menghadapi ujian dan segala urusan mereka dipermudah. 

5 negeri terjejas banjir setakat ini

Beliau berkata berdasarkan Laporan Bencana Nasional daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenai situasi banjir semasa, sebanyak lima negeri terjejas akibat banjir setakat 8 pagi tadi yang kini ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah di Kelantan, dua di Terengganu, dan masing-masing satu di Pahang, Johor, dan Perak.

Beliau berkata orang ramai boleh melayari laman web rasmi dan media sosial MetMalaysia atau melalui aplikasi myCuaca bagi perkembangan terkini dan maklumat sahih tentang keadaan cuaca. – BERNAMA