Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Insiden renjatan elektrik yang mengorbankan seorang remaja ketika mengecas telefon dalam bas ekspres, awal bulan ini, tidak boleh dipandang remeh kerana ia babitkan nyawa manusia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata tindakan menghentikan pengoperasian serta merta bas ekspres berkenaan adalah tindakan yang wajar.

“Insiden ini menyebabkan kematian, jadi kita memang ambil tindakan tegas kerana ia adalah satu kejadian luar jangka. 

“Siapa jangka ketika kita mengecas bateri atau telefon, ia boleh menyebabkan kita meninggal dunia. Malah selepas diteliti, ternyata bas itu memang mengalami masalah pendawaiaan.

“Jadi (walaupun seorang meninggal), jangan pandang remeh, kerana ia libatkan kematian individu,” katanya dalam sidang media selepas meninjau status kerja menambah baik fasiliti laluan monorel, hari ini. 

Loke sebelum ini mendedahkan laporan awal siasatan Pasukan Petugas Khas diketuai Kementerian Pengangkutan (MOT) mendapati pendawaian elektrik pada bas ekspres tidak teratur menjadi punca kepada renjatan elektrik terbabit. 

Loke berkata, siasatan mendapati sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket dipasang secara terbalik.

Sebelum ini, beliau mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas (Special Taskforce) serta menggantung serta-merta operasi bas terbabit.

Tindakan serta merta itu ternyata mendapat pelbagai reaksi termasuk daripada Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Datuk Abu Hassan Awang bahawa, penggantungan serta-merta operasi bas ekspres itu dianggap tegas. 

Katanya, seharusnya pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terlebih dahulu serta mengetahui punca renjatan elektrik sebelum mengambil sebarang keputusan penggantungan.-BH Online