Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Hampir 80 peratus daripada unit kediaman dibangunkan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) di seluruh negara dijual kepada golongan belia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata rekod sehingga , sehingga 30 September lalu menunjukkan 19,909 daripada 25,903 unit kediaman SPNB dimiliki golongan muda.

Selain itu, katanya 65 peratus atau 44,983 daripada 69,205 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dibina turut dimiliki golongan belia.

Beliau berkata, 60.1 peratus atau 25,030 daripada 41,671 unit rumah mampu milik yang dibuka untuk jualan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) juga dimiliki golongan belia dengan angka itu tidak termasuk projek usaha sama dilaksanakan perbadanan berkenaan.

“Sebanyak 166 Projek Perumahan Rakyat (PPR) siap dibina dengan 104,081 unit rumah. Daripada jumlah ini, sebanyak 26 PPR masing-masing membabitkan tiga projek PPR Disewa, dua projek PPR Dimiliki dan 21 projek PPR RTO (sewa untuk milik) adalah seliaan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

“Berdasarkan rekod, sebanyak 35.9 peratus kategori ketua isi rumah (KIR) adalah antara umur 31 hingga 40 tahun,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai aspek sokongan pembiayaan bagi memiliki rumah, Kor Ming berkata Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) disediakan dengan kerajaan memberi jaminan had pembiayaan sehingga RM500,000.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, SJKP disediakan bagi pembelian rumah pertama untuk rakyat tanpa pendapatan tetap serta berpendapatan rendah dan sederhana.

“Home Ownership Campaign 2.0 (HOC 2.0) iaitu pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pembiayaan untuk pembeli rumah pertama bernilai RM500,000 ke bawah, masih berlangsung sehingga 31 Disember 2025.

“Projek rintis Perumahan Inklusif MADANI di Johor iaitu perumahan pelbagai saiz (GFA) bagi memastikan kesesuaian dan keperluan isi rumah pelbagai golongan sasaran dipenuhi,” katanya.

Sementara itu, katanya, 69 sesi libat urus, selain pembentangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi di Parlimen sudah diadakan bagi mengatasi isu keresahan pemilik rumah atau hartanah berhubung nilai ambang persetujuan bagi proses pembaharuan semula bandar.

Beliau berkata, sesi libat urus bersama kerajaan Sabah juga sudah diadakan pada 7 November lalu dan akan disusuli kerajaan Sarawak pada Januari 2025 supaya keperluan khusus mereka turut diberi perhatian, mengambil kira keunikan demografi dan geografi.-BH Online