SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meningkatkan lagi tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat atau lori yang membawa muatan melebihi had dibenarkan sehingga menjadi punca kemalangan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya menyedari banyak kemalangan maut disebabkan lori membawa lebih muatan, malah walaupun JPJ sudah melaksanakan operasi, namun lori kontena dan kenderaan berat membawa batu-bata serta pasir ini masih terus berdegil.
Beliau berkata, keadaan diburukkan lagi apabila ada kalangan pemandu kenderaan itu yang menggugut anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas, selain mereka memasang tonto bagi mengelak dikenakan tindakan.
“Jadi, kita akan tingkatkan penguatkuasaan ini dan mungkin buat pindaan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan (APJ) untuk kita perkasakan lagi tindakan penguat kuasa JPJ terhadap isu kenderaaan berat ini,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 pada hari ketiga sidang (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata, JPJ tidak terbabit dalam proses siasatan kes kemalangan kenderaan berat terutama membabitkan kematian kerana ia di bawah bidang kuasa polis, namun jabatan itu terbabit dalam proses mengaudit syarikat berkaitan.
“Apabila berlaku kemalangan, prosedur operasi standard (SOP) JPJ adalah syarikat itu mesti diaudit sama ada mereka mematuhi prosedur keselamatan ataupun tidak.
“Dalam kebanyakan kes, mereka gagal dalam audit itu dan kita akan gantung operasi syarikat supaya mereka buat audit yang baik.
“Walaupun seterusnya mereka berjaya, kita masih hukum mereka dengan menggantung operasi, contohnya jika membabitkan pemandu warga asing dan tindakan lain seperti menarik lesen,” katanya.
Loke berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk bertindak proaktif terhadap pemandu lori yang didapati mengambil dadah sehingga menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain.-BH Online