Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEOUL: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dengan Korea Selatan akan dimuktamadkan pada tahun depan, dengan kedua-dua negara komited untuk mempercepatkan sebarang rundingan tertangguh.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian itu dijangka ditandatangani ketika lawatan balas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, ke Malaysia.

Perdana Menteri berkata, rundingan berkenaan tertangguh sejak 2019 kerana ketidakstabilan politik yang melanda negara ketika itu.

“Keadaan politik dan persekitaran perniagaan adalah lebih baik ketika ini.

“Kami (Anwar dan Suk Yeol) ada bincangkan, pagi tadi, bahawa kami akan permudah dan percepat proses rundingan berkaitan FTA.

“Apabila beliau (Suk Yeol) datang ke Malaysia pada tahun depan, kita akan menandatangani dan memuktamadkan FTA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan 2024, di sini, hari ini. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bertindak sebagai moderator forum itu.

Seterusnya, Perdana Menteri turut mengulangi daya tarikan Malaysia sebagai sebuah negara dagang dengan dasar yang jelas untuk meningkatkan potensi ekonomi negara dan rantau ASEAN secara menyeluruh.

Beliau berkata, kerajaan bersedia membuat sebarang perubahan bagi menjadikan Malaysia destinasi menarik untuk pelaburan.

Katanya, ia membabitkan dasar yang tepat, insentif jelas dan kemudahan infrastruktur mencukupi, selain mendapatkan tenaga profesional dengan disiplin serta pengetahuan teknikal.

“Isu-isu ini sedang diambil tindakan. Oleh itu, kita akan melihat kadar perkembangan yang meningkat dan kapasiti menarik industri baharu,” katanya.

Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan 2024 dihadiri 147 syarikat tempatan membabitkan 60 syarikat pembuatan, 78 syarikat perkhidmatan, runcit dan pengedaran, serta sembilan persatuan perniagaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia menganggap Korea Selatan sebagai rakan sebenar kerana pembabitan dalam pelbagai bidang.

“Pertama, kita menerima perniagaan mereka, kemudian budaya dan diikuti pelaburan (daripada syarikat Korea Selatan).

“Tidak dilupakan juga drama Korea dan K-pop (artis pop Korea). Rakyat Malaysia sudah biasa dengan semua ini dan kami melihat Korea Selatan sebagai rakan, tiada masalah dan tiada tekanan (antara kedua-dua negara),” katanya.-BH Online