0leh: Noraini Nordin
Di sebalik keghairahan banyak pihak terus mempertikakan isu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, apa yang mereka harus sedar ialah kerajaan telah menjimatkan penggunaan wang rakyat.
Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, kos penggunaan pesawat khas bagi lawatan ke lima negara itu ialah sebanyak RM6.162 juta.
Tetapi kos yang ditanggung kerajaan hanyalah RM1. 662 juta atau bersamaan 27 peratus manakala bakinya 73 peratus lagi atau RM4.5 juta adalah dibayar oleh delegasi perniagaan yang turut menyertai lawatan bersama Perdana Menteri itu.
“Penting untuk saya menjelaskan bahawa kerajaan tetap membayar kos penerbangan untuk Perdana Menteri dan ia tidak dibiayai oleh mana-mana syarikat,” katanya
lagi.
JIMAT RM900 RIBU
Menurutnya, dengan sewaan khas pesawat Malaysia Airlines (MAS) A350 itu, kerajaan menikmati penjimatan sebanyak RM900,000 berbanding jika menggunakan pesawat khas sedia ada yang mana kosnya mencecah RM2.5 juta.
“Kerajaan tetap mengeluarkan kos sebanyak RM1.662 juta manakala bagi semua urusan penginapan, makanan dan pengangkutan ia diuruskan oleh kerajaan atau penganjur bagi acara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).
“Jadi tidak timbul isu bahawa penginapan, makanan, minum, penerbangan Perdana Menteri ditanggung oleh syarikat swasta.
Anwar pada Khamis menjelaskan, kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara iaitu China, Arab Saudi, Mesir, Peru dan Brazil ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.
LAWATAN RASMI
Katanya, pendekatan tersebut dilaksanakan di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.
Melalui apa yang dilakukan Perdana Menteri dan sebagaimana dijelaskan lebih lanjut oleh Fahmi, jelas dapat dilihat bahawa keutamaan Anwar ialah menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Ertinya, selain tidak mengambil gaji Perdana Menteri kerana ingin menjimatkan wang kerajaan, Anwar sentiasa memikirkan pelbagai cara lain untuk maksud yang sama.
Dengan kos perjalanan lawatan ke luar negara berjaya dijimatkan, bermakna lebih banyak negara boleh dilawati Anwar selepas ini untuk tujuan menarik pelaburan atau mengeratkan hubungan dua hala dengan negara-negara yang dilawatinya, tetapi dengan kos yang lebih rendah.
Tidakkah dengan apa yang dilakukan Perdana Menteri itu, rakyat Malaysia sepatutnya berterima kasih kepada Anwar?-Media Perpaduan