KUALA LUMPUR: Kerjasama pelbagai parti dan kekuatan hubungan politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan, menepis tanggapan kepemimpinan pentadbiran Malaysia MADANI tidak kukuh, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Alhamdulillah jika melihat perhubungan politik sekarang, kekuatan kita ialah dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di mana parti yang pelbagai mempunyai perhubungan politik kuat.
“Jika ada gambaran kerajaan tidak kukuh, bayangkan dalam Kabinet bagaimana kita bekerja, PM (Perdana Menteri) kerja kuat, kita menteri-menteri kena kerja lebih kuat serta menggunakan pendekatan berunding untuk menyelesaikan ketidaksefahaman.
“Ini kerana tumpuan Kerajaan MADANI adalah mencari persamaan dan menyelesaikan pertelingkahan dengan sentiasa berunding,” katanya.
Fadillah menjawab soalan mengenai prestasi dua tahun kerajaan MADANI selain mengenai bagaimana konteks Federalisme dilaksanakan dan adakah semangat kewilayahan semakin lebar serta bakal menjadi cabaran pada masa depan.
Beliau berkata demikian pada Sesi `TownHall’ sempena Majlis Perasmian Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Refomasi Perkhidmatan Awam 2024, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Fadillah berkata Kerajaan Perpaduan menggunakan pendekatan berbeza daripada pentabdiran terdahulu dengan Anwar melakukan lawatan di negeri-negeri untuk mendapat taklimat dan kemudian akan dibincangkan.
Katanya, pendekatan Kerajaan Persekutuan ini kemudiannya kembali mendapat maklum balas daripada kerajaan negeri dari segi projek dan pelaksanaan termasuk kelemahan bagi mendapatkan penyelesaian bersama.
“Walaupun masih ada penuntutan hak, tetapi ia termaktub pada perlembagaan dan undang-undang.
“Sebab itu ada rundingan dan perbincangan dalam konteks Sabah dan Sarawak. Ada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang banyak dipersetujui dan ada yang selesai. Namun kita sentiasa mendengar dan mencari titik penyelesaian,” katanya.
Fadillah berkata semua pihak perlu melihat kembali bagaimana penubuhan Malaysia terutama sekali Tanah Melayu, iaitu gabungan antara negeri-negeri Semenanjung dan kemudian Tanah Melayu bersama dengan Singapura, Sabah, Sarawak menubuhkan Malaysia.
“Sejarah itu perlu difahami kita semua. Dengan tertubuhnya Malaysia, sudah pasti ada lingkungan dalam konteks perjanjian dan apa yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Kalau kita mengimbau bagaimana semangat itu dirangkumkan untuk menguatkan negara Malaysia, ia diterjemahkan dengan pelbagai kaedah.
“Pertama dari sudut perundangan. Kedua sudut perhubungan di antara manusia, perhubungan di antara perniagaan dan perhubungan antara politik,” katanya. -BH Online