Putrajaya: Malaysia menyifatkan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant sebagai kemenangan kepada mereka menegakkan keadilan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu amat wajar kerana ia dibuat berdasarkan undang-undang serta bukti.
“(Keputusan) ICC wajar kerana ia berlandaskan hukum dan bukti mengenai kezaliman penindasan dan pembunuhan berterusan.
“Jadi kita alu-alukan keputusan itu dan setuju dengan tindakan bahawa kalau ada mana-mana lawatan dia (Netanyahu dan Gallant) ke luar (negara), harus di tangkap,” katanya ketika ditemui selepas menunai solat Jumaat di Surau Al-Husna Presint 9 di sini, hari ini.
ICC pada semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza.
ICC mengeluarkan waran tangkap itu di atas jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan dari 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei lalu, hari pendakwaan memfailkan permohonan waran tangkap.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau difahamkan ada beberapa negara Eropah yang sudah membuat kenyataan berhubung waran tangkap berkenaan.
“Ini suatu pengesahan mengenai apa yang berlaku selama ini, yang kadang-kadang dipertikaikan oleh sebahagian orang, kerana ICC (adalah) badan yang memutuskan (keputusan) berdasarkan hukum dan bukti.
“(Ini adalah) kemenangan bagi yang menegakkan keadilan dan kemanusiaan, tentunya membantu meringankan perasaan derita rakyat Palestin dan Gaza,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menolak keputusan ICC itu, Perdana Menteri berkata, itu adalah keputusan negara berkenaan.
“Itu keputusan AS, tapi saya rasa keputusan dunia adalah sebaliknya,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa menyertai lebih 500 jemaah menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Husna Presint 9 di sini.
Perdana Menteri tiba pada 1 tengah hari dan beliau bersama jemaah turut mendengar khutbah bertajuk ‘Meraih Syafaat, Menagih Selamat Di Akhirat’ sebelum menunaikan solat Jumaat diimamkan Ustaz Mohd Firdaus Mohd Suhan.
Usai solat Jumaat, Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu warna biru sempat beramah mesra dengan pengurusan masjid dan kariah serta orang ramai sebelum beredar.
Perdana Menteri juga sempat meluangkan masa makan tengah hari bersama penduduk setempat di Medan Selera Presint 9.-Harian Metro Online