SHAH ALAM: Selangor mempertimbang untuk membuat pelarasan gaji kakitangan di pusat khidmat masyarakat (PKM) sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihaknya juga akan menilai semula peruntukan bulanan bagi semua PKM termasuk kepada pembangkang susulan peningkatan kos sewaan.
“Ketika ini, kerajaan negeri sedang menimbang beberapa cadangan antaranya meningkatkan pelarasan gaji bagi kakitangan termasuk pegawai PKM seluruh Selangor sesuai dengan pengumuman terbaru Kerajaan Persekutuan.
“Saya hendak maklumkan juga untuk mempertimbangkan peruntukan bulanan bagi PKM termasuk pembangkang sebab ketika ini, kos penyewaan meningkat…kita akan kaji keseluruhan berikutan ada bebanan contohnya di Tanjong Karang mungkin bawah RM2,000 tetapi (kos sewa) tinggi di Petaling.
“Bagi penetapan lokasi PKM, memang sepatutnya ia terletak dalam kawasan, tetapi tidak mahu tekankan atau mewajibkannya kerana ia menimbulkan peningkatan kos,” katanya menjawab soalan Lwi Kian Keong (PH-Sungai Pelek) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Sementara itu, Amirudin turut memaklumkan isu penambahan kakitangan di PKM yang dibebani dengan pelbagai program bulanan dan mingguan dijangka selesai selewat-lewatnya Jun tahun depan.
“Buat masa ini, kita masih kekalkan kuota empat pegawai tetapi akan mempertimbang untuk penambahan kakitangan selepas melihat bebanan PKM dengan program sedia ada termasuk yang baharu membabitkan khairat kematian.
“Ini termasuk pada 2026 kita akan mula melunaskan pembayaran 29,000 peserta Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) daripada kelompok pertama. Kita muktamadkan pada 2008 dan pada 2026 mula buat pembayaran kepada mereka yang berusia 18 tahun.
“Kalau ada keperluan saya minta tempoh sampai Jun depan untuk menambah dengan melihat keperluan program pada 2026 dan beberapa kerja termasuk khairat kematian,” katanya.-BH Online