KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan bukan saja mencatatkan prestasi yang baik pada 2024, tetapi juga memperlihatkan banyak syarikat dalam pasaran ACE menjadi matang dan beralih ke Pasaran Utama.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pada tahun ini, pasaran tempatan menyaksikan indeks penanda aras FBM KLCI melepasi paras 1,600 mata dengan nilai dagangan melepasi RM2 trilion.
Katanya, jumlah syarikat dalam pasaran ACE beralih ke Pasaran Utama pula meningkat dengan kira-kira 11 syarikat tahun ini, justeru ia adalah petanda yang baik.
Malah, beliau menambah bahawa pasaran tempatan turut menyaksikan kehadiran 46 tawaran awam permulaan (IPO) baharu tahun ini.
“Tahun ini adalah tahun yang baik. Dengan 46 IPO baharu, 11 penyenaraian dalam Pasaran ACE menjadi matang beralih ke Pasaran Utama, justeru mencipta penyenaraian jangka panjang yang lebih rancak untuk pasaran dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Sembang Santai: Pasaran Modal di Malaysia – Langkah Menuju Ke Depan sempena Perhimpunan Agung dan dan Mesyuarat Tahunan Persekutuan Bursa Dunia (WFE) ke-63 yang dihoskan oleh Bursa Malaysia Bhd di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, ekonomi negara juga mencatatkan pertumbuhan yang cukup baik tahun ini, dengan purata 5.2 peratus untuk tiga suku pertama tahun ini.
Beliau berkata, yang penting bagi pasaran modal tempatan adalah memudahkan, menyediakan modal kepada perniagaan yang ingin berkembang, membuka peluang untuk segmen pasaran yang berbeza dan kemudian menerajui pecutan pertumbuhan untuk Malaysia.
Katanya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama juga telah memberi komitmen secara kolektif untuk melabur RM120 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Ini bermakna suntikan modal ke dalam ekonomi Malaysia sebenarnya sangat kukuh,” katanya.-BH Online