Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Produk Malaysia yang diketengahkan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai berpotensi besar untuk bersaing pada peringkat global, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, banyak produk halal tempatan termasuk hasil usahawan bumiputera yang ditampilkan di pentas antarabangsa, memperlihatkan mutu dan potensi besar menembusi pasaran dunia.

“Saya tidak melepaskan peluang untuk melawat reruai-reruai yang dipamerkan di sini (MIHAS@Dubai 2024).

Foto ihsan Facebook Datuk Seri Ahmad Zahid

“Alhamdulillah, saya amat berbangga melihat begitu banyak produk halal tempatan, termasuk hasil usahawan bumiputera yang kini ditampilkan di pentas antarabangsa. Produk-produk ini memperlihatkan mutu dan potensi besar produk halal Malaysia untuk bersaing pada peringkat global.

“Saya juga berkesempatan melawat reruai dari pelbagai negeri, kementerian, agensi serta syarikat bumiputera yang menampilkan produk-produk halal yang hebat dan inovatif. Ia berpotensi besar untuk menembusi pasaran global serta membuka ruang dan peluang baharu dalam industri yang kian berkembang ini,” katanya dalam ciapan di laman X, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, usahawan-usahawan Malaysia yang terbabit dalam MIHAS@Dubai 2024 perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia itu.

“Semoga produk halal kita terus dikenali di seluruh dunia, sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal antarabangsa. Insya-Allah,” katanya.-BH Online