Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Seramai 65,191 Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran bagi kategori autisme berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat Oktober lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau mengakui nisbah OKU autisme berdaftar berbanding pusat tidak mencukupi, namun bukan semua golongan itu perlu dihantar ke pusat jagaan khas sebaliknya apa lebih penting keperluan mereka mendapatkan intervensi selain bimbingan keluarga di rumah.

“Sehingga 31 Oktober 2024, terdapat sebanyak 33 Pusat Jagaan Autisme yang berdaftar dengan JKM. 

“Bagi pendaftaran OKU masalah pembelajaran bagi kategori autisme bagi tempoh sama pula adalah seramai 65,191 orang.

“KPWKM mengambil maklum, perkadaran nisbah di antara bilangan OKU autisme berdaftar berbanding bilangan pusat autisme di seluruh negara di bawah kendalian JKM atau agensi kerajaan lain tidak mencukupi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perancangan kementerian meningkatkan bilangan pusat autisme di seluruh negara dan sejauh mana bantuan serta insentif yang diberikan kepada pengusaha swasta dalam usaha ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, kerajaan sentiasa cuba melaksanakan inisiatif yang dapat memberi sokongan perkhidmatan dari semasa ke semasa.

“Beberapa inisiatif dilaksanakan bagi merapatkan jurang penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan dan sokongan autisme.

“Ini termasuk kerjasama dengan komuniti serta badan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK), antaranya Program Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang sehingga September 2024, seramai 19,907 OKU sedang menerima perkhidmatan 573 PDK di seluruh negara.

“Kerajaan juga menyalurkan bantuan meringankan beban kos pengoperasian PDK ini. Manakala semua pelatih OKU juga mendapat elaun di PDK sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat), Nancy berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pakar berkaitan bagi menjalankan satu kajian berkaitan peningkatan autisme di negara ini.

“Kita pada masa ini memang sedang mengkaji perkara ini kerana autisme tidak menentu spektrumnya agak luas, jadi keperluan mereka bergantung kepada apa spektrum mereka.

“Jadi, hanya pakar yang tahu tetapi kita bekerjasama dengan pakar. Pada masa ini kita masih belum lagi memperolehi kepakaran begitu ramai, kita ada seramai 498 ahli terapi pertuturan bahasa berdaftar serta ahli terapi cara kerja seramai 2,473 berdaftar di seluruh negara.

“Untuk itu, pembangunan ekosistem lebih besar perlu dilaksanakan dan kita juga sedang melaksanakan modul asuhan dan jagaan untuk kanak-kanak ini yang akan kita lancarkan pada Sambutan Hari Kanak-Kanak nanti,” katanya.

Selain itu, katanya, perkhidmatan institusi juga perlu dilihat lagi dan dikaji semula dalam memberi asuhan yang sesuai untuk golongan itu.

“Selari itu juga peranan badan mengawal selia amalan juruterapi ini juga boleh diperkembangkan bagi meningkatkan kualiti dan kepercayaan orang awam terhadap perkhidmatan disediakan profesional dalam bidang ini,” katanya.-Harian Metro Online