Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta mana-mana sekolah di bawah kelolaannya yang terjejas banjir atau dijadikan pusat penempatan sementara (PPS) susulan Monsun Timur Laut (MTL) perlu melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menteri, Fadhlina Sidek, berkata, beliau yakin semua guru terlatih dengan situasi yang terkait rapat dengan bencana alam khususnya dalam menangani isu banjir di sekolah.

Katanya, KPM sangat mengutamakan keselamatan murid di sekolah dan memastikan semua dapat belajar dalam persekitaran yang kondusif.

“Kita akan pastikan sekolah selamat, kondusif untuk meneruskan pendidikan anak-anak ini.

“Kalau sekolah itu tidak dapat meneruskan pendidikan seperti biasa kerana proses ataupun tempoh masa banjir itu masih lagi lama, PdPR akan dilaksanakan.

“Semua guru sudah terlatih untuk membuat sebarang intervensi khususnya terkait rapat dengan situasi banjir,” katanya ketika diminta mengulas berhubung persediaan KPM menghadapi MTL.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program My Lesen (B2) Tahun 2024 Parlimen Nibong Tebal di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan USM, Transkrian, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, HasbiHabibollah; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli .

Seramai 656 pemohon terdiri daripada 378 pelajar sekolah, suri rumah dan nelayan memohon lesen memandu B2 secara percuma.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, KPM mempunyai SOP Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan yang merangkumi tindakan sebelum, semasa dan selepas banjir.

Justeru katanya, semua pihak termasuk sekolah perlu bersedia apabila institusi pendidikan mereka dijadikan PPS.

“Dalam pada itu KPM juga menyediakan dua pasukan iaitu Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) bagi membantu murid dan pelajar untuk membantu murid dari aspek kaunseling dan pembelajaran,” katanya.-BH Online