Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Langkah beberapa institusi antarabangsa menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia membuktikan keyakinan mereka terhadap prospek ekonomi negara bagi tahun ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata ini juga sekali gus menunjukkan kerajaan berada landasan yang tepat untuk mencapai unjuran yang telah disasarkan.

“Sebelum ini Bank Dunia meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus bagi 2024 daripada unjuran asal 4.3 peratus pada April lalu, dan sekarang ini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula menaikkan unjuran ekonomi negara kepada 4.8 peratus daripada unjuran asal 4.4 peratus.

“Jadi kita di landasan yang tepat dan InsyaAllah MITI akan terus berusaha untuk meningkatkan perdagangan dengan menarik pelaburan berkualiti bagi memastikan rakyat Malaysia menikmati lebih banyak peluang pekerjaan yang bergaji tinggi,” katanya menerusi satu hantaran video di platform X beliau hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata memandangkan ekonomi negara berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, purata pertumbuhan bagi tempoh tiga suku terawal tahun ini mencapai 5.2 peratus.

“Aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan yang kukuh bagi struktur serta jentera dan peralatan, manakala perbelanjaan isi rumah terus meningkat berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 diunjur lebih kukuh antara 4.8 dan 5.3 peratus berbanding antara 4.0 dan 5.0 peratus pada 2023.–BERNAMA