Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pertumbuhan yang menjangkau 5.0 peratus pada sembilan bulan 2024 mencerminkan keyakinan perniagaan dan rakyat terhadap ekonomi Malaysia serta pengurusan ekonomi kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Perdana Menteri mengulas prestasi ekonomi negara bagi suku ketiga 2024 yang berkembang 5.3 peratus, seiring dengan anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dilaporkan baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan MADANI bertekad memperhebat pelaksanaan agenda reformasi bagi memperkukuhkan tatakelola baik dan melaksanakan pembaharuan ekonomi seperti digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI. 

Katanya, tumpuan penuh kepada agenda reformasi dapat dilihat melalui Belanjawan 2025, apabila kerajaan giat memperkukuh pengurusan fiskal melalui pengurangan defisit fiskal, peluasan asas hasil dan perbelanjaan berhemat melalui penyasaran subsidi petrol.

“Belanjawan 2025 mengimbangi antara keperluan tanggungjawab fiskal di samping terus melaksanakan belanjawan dan pelaburan awam yang mengembang, demi menyokong momentum pertumbuhan yang jitu bagi tahun mendatang,” katanya.

Anwar berkata, meski dunia masih penuh marcapada dan ketidaktentuan, asas ekonomi Malaysia kian kukuh saban masa. 

Beliau berkata, Malaysia yang kini berada pada landasan kukuh serta berkemampuan untuk melabuhkan tirai 2024 dengan kadar pertumbuhan memberangsangkan, apakala kerajaan giat menggerakkan agenda reformasi ekonomi bagi meningkatkan tahap kerencaman dan martabat ekonomi Malaysia.

Walaupun kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang sangat terbuka telah mendedahkan negara ini kepada tantangan geopolitik serta ekonomi dunia yang penuh pergolakan, Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI kekal optimistik akan unjuran ekonomi negara. 

Beliau menekankan kerangka Ekonomi MADANI telah membina landasan jelas untuk Malaysia melonjakkan nilainya dalam rantaian bekalan dunia serta menjayakan keterjaminan dan kemampanan ekonomi.

“Kerajaan yakin bahawasanya terdapat peluang keemasan di kala zaman penuh keberantakan ini. Malaysia yang kian membangkit ini berpijak di atas landasan baik untuk memanfaatkan fenomena peralihan kepada strategi Plus One (kepelbagaian operasi ke negara lain seperti di Asia Tenggara) yang kian meningkat. 

“Ikhtiar kerajaan untuk mengukuhkan serta memperbaharui kerjasama bilateral dan multilateral, sambil mengekalkan kedudukan berkecuali, bakal membuahkan hasil melalui lonjakan perdagangan serta perluasan pasaran eksport,” tambah beliau.

Belanjawan 2025 yang memperuntukkan sebanyak RM421 bilion adalah bertujuan memacu reformasi fiskal dan ekonomi, mengutamakan pelaburan bermutu tinggi yang berupaya mencipta pekerjaan berpendapatan lebih tinggi serta menambah baik perkhidmatan dan prasarana awam untuk meningkatkan darjat hidup rakyat. 

Perbelanjaan pembangunan sebanyak RM86 bilion juga ditambah dengan projek inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bernilai RM9 bilion serta pelaburan langsung domestik oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berjumlah RM25 bilion. 

Secara keseluruhan, pelaburan awam untuk pembangunan 2025 adalah berjumlah RM120 bilion.

Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030) pada September 2024 dijangka menjana pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion dan mencipta 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Selebihnya, kerajaan telah mengambil pendekatan tegas dan beransur-ansur untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.0 peratus pada 2023 kepada 4.3 peratus tahun ini, sebelum menggiatkan lagi usaha kepada 3.8 peratus pada 2025. 

Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menjayakan kemampanan kewangan pada jangka masa panjang. 

Kerajaan kekal berikhtiar untuk memastikan pelaksanaan langkah serta inisiatif pragmatik bagi mengukuhkan asas ekonomi negara, agar Malaysia berpijak pada landasan kukuh untuk bertahan daripada tantangan yang boleh menggugat kestabilan ekonomi dalam negeri.-BH Online