Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru pihak industri supaya terbabit lebih aktif dan bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama pihak industri dan institusi TVET yang kukuh amat signifikan dalam memastikan padanan antara penawaran dan permintaan dibuat secara komprehensif.

“Input daripada pihak industri yang konsisten mencakupi aspek kuantiti dan kualiti tenaga kerja yang diperlukan adalah amat penting serta kritikal.

“Ketepatan input ini kemudiannya disusuli dengan pembangunan kurikulum dan pelaksanaan program yang bersesuaian oleh institusi TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir 2024 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Fadillah berkata, kerjasama lebih aktif antara pihak industri dan kerajaan berupaya memastikan institusi TVET menawarkan program lebih berkualiti dan relevan dengan keperluan pasaran.

Katanya, jalinan kerjasama erat bersama pihak industri dapat mewujudkan tenaga kerja pakar baharu untuk menguasai kesan limpahan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Dalam pada itu, Fadillah meminta agensi TVET supaya menganjurkan lebih banyak pertandingan kemahiran di peringkat institusi masing-masing.

Jelasnya, usaha itu penting supaya dapat melahirkan lebih ramai bakat yang mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

“Pertandingan kemahiran adalah aktiviti penting yang menyokong pemerkasaan TVET dalam usaha mempromosi aliran TVET dan memastikan kualiti penyampaian latihan yang selari dengan standard di peringkat antarabangsa.

“Pertandingan kemahiran adalah satu usaha kerajaan bagi meningkatkan kualiti ekosistem TVET negara secara menyeluruh berdasarkan standard pekerjaan industri antarabangsa iaitu ‘WorldSkills Occupational Standard’ (WSOS),” katanya.

Beliau berkata, pembabitan serta penyertaan dalam pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan dan antarabangsa memberi manfaat yang besar kepada pelajar, tenaga pengajar, institusi TVET dan industri negara secara keseluruhan.

Pada majlis itu, Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dimenangi oleh Misto Mikin bagi kategori pelajar.

Kategori pengajar, dimenangi oleh Muhammad Muhyiddin Mohamad Ibrahim.-BH Online