KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Sabah (UMS) merancang untuk mengembangkan pusat pembelajaran baharu di Semporna di bawah Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata cadangan itu sekali gus membuka peluang pendidikan kepada kawasan sekitarnya dengan penawaran pelbagai program seperti pengurusan pelancongan dan akuakultur.
Katanya, tawaran pengajian dalam bidang berkaitan keselamatan makanan (food security) dan lain-lain akan dipertimbangkan sekiranya ada keperluan.
“Bagaimanapun, perkara itu tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan kementerian lain dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Ekonomi.
“Trend penawaran (pembelajaran) ketika ini (boleh dilakukan) secara hibrid, fizikal atau secara maya iaitu pelajar boleh mengikuti pengajian di mana-mana saja tanpa perlu hadir di kampus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengakui ketika ini terdapat beberapa permintaan mewujudkan IPTA serta cawangan universiti awam (UA) di Kelantan dan Sabah.
Katanya, permintaan UA itu masing-masing diterima dari Semporna, Tawau, Labuan dan Kota Belud dari Sabah; selain Tumpat di Kelantan dan Betong di Sarawak.
Bagaimanapun, Zambry menegaskan penubuhan sesebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) baharu harus diteliti sepenuhnya daripada pelbagai aspek.
“Antaranya ia tertakluk kepada permintaan semasa yang merangkumi keperluan daripada perspektif pelajar dan masyarakat semasa yang mesti seimbang dengan saiz populasi penduduk, selain faktor kecukupan dan kesediaan bekalan tenaga pakar dalam sesuatu bidang.
“Selain itu, untuk menubuhkan IPTA baharu ia akan tertakluk kepada keupayaan menyediakan dan menyelenggara prasarana dengan baik, kemandirian kewangan serta prospek dan jenis program yang hendak ditawarkan.
“Begitu juga dengan faktor, risiko pertindihan dan sebarang ketidakpadanan dengan IPT serta program sedia ada dan terakhir aspek penawaran program yang boleh dilaksanakan secara maya,” katanya.
Katanya, dengan penubuhan IPTA baharu ia akan bermakna akan ada institusi baharu pembinaan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.-BH Online