KAHERAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini petang Sabtu bagi lawatan rasmi empat hari ke Mesir.
Ini adalah lawatan kali kedua Anwar ke Mesir selepas dilantik menjadi Perdana Menteri dengan lawatan pertama dilakukan pada Oktober tahun lalu.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah jam 6.30 petang waktu tempatan (jam 12.30 tengah malam Ahad waktu Malaysia).
Ketika di Dewan Ketibaan Presiden, Anwar memeriksa kawalan kehormatan membabitkan 16 anggota tentera Mesir.
Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelesterian Alam (NRES), Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Ketibaan Anwar disambut Perdana Menteri Mesir, Dr Mustafa Madbouly; Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian dan pegawai Malaysia di Kaherah.
Lawatan Perdana Menteri atas jemputan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi kali ini adalah bersejarah kerana ia bertepatan dengan sambutan 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Mesir hari ini, sejak bermula pada 10 November 1959.
Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) termasuk antara Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif bagi kerjasama di Fakulti Ulum Islamiah dan MoU bagi kerjasama Malaysia dan Mesir dalam bidang hal ehwal agama.
Selain mengadakan pertemuan empat mata dengan El-Sisi di Istana Al Ittihadiya, di sini, Anwar antara lain dijadual menghoskan sesi libat urus bersama kapten industri utama tempatan dan menyampaikan ceramah umum kepada pelajar serta kakitangan Universiti Al-Azhar.
Pada Isnin ini, Anwar akan ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam yang akan membincangkan situasi terkini di Palestin dan Lubnan, serta perkembangan serantau sebelum kembali semula ke Kaherah pada malam hari sama bagi meneruskan program rasmi di sini.
Anwar kemudian akan mengadakan perbincangan bersama delegasi perniagaan Malaysia dan kemudian merasmikan pusat operasi pemasangan (CKD) Proton Saga, di sini, sebelum berangkat jam 2 petang Selasa ini (jam 8 malam waktu Malaysia) bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 di Lima, Peru.
Seterusnya, beliau bersama delegasi Malaysia akan ke Rio de Janeiro, Brazil bagi memenuhi undangan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.
Perdana Menteri sebelum ini mengadakan rangka lawatan kerja ke China selama empat hari berakhir Khamis lalu.
Lawatan itu adalah atas jemputan Perdana Menteri, Li Qiang supaya Anwar menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ke-7 (CIIE ke-7) di Shanghai, yang juga hab kewangan global.-BH Online