KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan kes buli terbaru membabitkan pelatih Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dicederakan oleh seorang penuntut senior tahun tiga universiti berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya berpendirian kejadian terbabit adalah tidak wajar dan merosakkan imej UPNM serta institusi pendidikan tinggi.
“Saya dimaklumkan berkenaan laporan media yang tular membabitkan seorang pelatih di UPNM yang mengalami kecederaan dipercayai tindakan seorang pelatih senior.
“Susulan laporan polis yang dibuat, Kementerian Pertahanan menyerahkan perkara ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyempurnakan siasatan.
“Pihak saya dan Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara ini,” dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.
BH melaporkan, kejadian berlaku pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ketika kejadian mangsa sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
“Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga.
“Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-BH Online