GEORGETOWN: Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) akan digunakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 dalam usaha menangani kes kehamilan remaja, termasuk di luar nikah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya mengambil perhatian serius isu berkenaan dan dari semasa ke semasa melaksanakan program berkait advokasi kesihatan reproduktif.
Katanya, langkah itu sudah mendapat persetujuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan KPM sentiasa mengalu-alukan kerjasama rentas kementerian bagi menangani isu terbabit.
“Saya ingat keprihatinan kita sama dengan KPWKM apabila bercakap soal kehamilan di luar nikah. Kita beri tumpuan penuh kepada agenda-agenda pendidikan, khususnya yang terkait rapat dengan kesihatan reproduktif.
“Begitu juga, dari semasa ke semasa, kita menjalankan program berkait advokasi membabitkan isu kesihatan reproduktif. Ini termasuk program bersama KPWKM,” katanya.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menjelaskan demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Program Minggu STEM Universiti Sains Malaysia (USM) 2024, di sini hari ini.
Program bersama KPWKM itu, katanya, termasuk bagi menangani isu gangguan seksual, isu kesihatan gadis serta sentuhan selamat dan tidak selamat, iaitu inisiatif yang masih lagi dilaksanakan di peringkat KPM.
Fadhlina berkata, pihaknya juga akan memberikan tumpuan kepada pemerkasaan maklumat dan advokasi kepada guru dan murid, khususnya modul PEERS berkait isu berkenaan.
PEERS diajar melalui kurikulum Pendidikan Kesihatan bermula peringkat prasekolah hingga menengah bagi melengkapkan murid dengan maklumat dan kemahiran, khususnya kecekapan psikososial untuk membuat keputusan dalam kehidupan harian.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata isu kehamilan remaja, perkahwinan bawah umur, buang bayi dan pengguguran tidak selamat di negara ini makin membimbangkan.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), katanya, sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan sejak lima tahun lalu dan daripada jumlah itu, 17,646 kehamilan membabitkan remaja belum berkahwin.
Memaklumkan demikian pada Forum Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial di Kuching, Nancy berkata, bagi Sarawak, 9,258 kes kehamilan remaja direkodkan sepanjang 2019 hingga 2023, termasuk 5,627 kes hamil luar nikah.-BH Online