KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kesal tindakan seorang khatib mengulas isu pemberian warga negara kepada lebih satu juta rakyat China dalam khutbah Jumaat di sebuah masjid di Parlimen Padang Serai di sini, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya menerima aduan awal mengenai kejadian yang dilihat mampu mencemarkan institusi masjid.
“Apabila pentas khutbah dijadikan kononnya untuk kupas isu semasa, bukan sahaja maklumatnya tersasar tapi sudah jadi fitnah dan apa pilihan yang ada pada jemaah, mereka tak mampu untuk beredar sebab nak solat Jumaat.
“Ini adalah satu yang sangat dikesalkan kerana mencemarkan sama sekali institusi masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Sua Mesra KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Dublin, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata isu pemberian warga negara itu sudah dijelaskan pihaknya sebelum ini, dan fakta sebenar sudah diterangkan, namun fitnah mengenainya masih diteruskan.
“Sepatutnya institusi masjid jadi tempat pesanan bertaqwa, menyeru amal makruf nahi mungkar dan ajak orang tegak keadilan dan jauhi kezaliman.
“Pentas khutbah adalah tempat pesanan bagi memperteguhkan persaudaraan dan supaya umat Islam tingkat amal ibadat,” katanya.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima laporan membabitkan kejadian itu dan akan terus memantau perkembangan kes berkenaan.
Katanya, pasukan khas 3R Bukit Aman akan melengkapkan siasatan sekiranya membabitkan aspek 3R iaitu salah guna institusi masjid untuk semarak perasaan kebencian dan permusuhan berasaskan perkauman.
“Saya mahu ulangi gesaan dan nasihat supaya institusi masjid terutama pimpinan daripada membenarkan guna platform khutbah untuk sampaikan bahan yang jauh terpesong.
“Saya percaya teks asal khutbah disediakan pihak berkuasa agama tidak langsung menyebut tentang itu, tapikhatib yang ambil sikap sendiri salah guna pentas khutbah Jumaat yang sebenarnya sebahagian daripada tuntutan ibadah,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Saifuddin menafikan dakwaan kononnya 1.2 juta pelancong rakyat China masuk ke Malaysia dan tidak keluar semula.
Sebaliknya beliau berkata jumlah pelancong republik itu dengan pas lawatan sosial yang masih berada dalam negara ini adalah seramai 84,817 orang dengan jumlah ketibaan pelancong China bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 30 November lepas adalah seramai 8,491,653 orang dan pelepasan keluar 8,012,294 orang.-BH Online