Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Sembilan persatuan yang masih belum membuka akuan bank khas untuk menerima kemasukan dana daripada kerajaan diberi peringatan sehingga hujung tahun ini bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, mereka sudah memaklumkan kepada sembilan persatuan berkenaan sebagai tanda peringatan untuk membuka akaun bank khas itu.

“Ramai (persatuan) yang menunggu sehingga mereka menyelesaikan mesyuarat majlis kerana untuk membuka akaun ini ia tidak boleh dengan sesuka hati,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujarnya, beliau tidak boleh memaklumkan persatuan yang masih berbuat demikian tetapi semuanya membabitkan sukan teras.

“Selepas kita memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama mereka Mac lalu, kita sudah menyatakan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyalurkan geran berkala empat bulan sekali.

“Ini untuk memudahkan mereka membuat bayaran muka menempah hotel, urusan pendaftaran lebih awal dan perkara itu lebih menjimatkan berbanding memberi dana berdasarkan program,” katanya.

Semalam Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan rata-rata persatuan enggan membuka akaun bank khas seperti diminta pihaknya sebagai syarat utama untuk menerima kemasukan dana daripada kerajaan.

KBS memperkenalkan semula kaedah ’empowerment’ kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) bagi mengurus dan meningkatkan tadbir urus peruntukan kewangan yang diterima mereka.

Program berkenaan bakal menyaksikan peruntukan akan disalurkan kepada PSK setiap empat bulan sekali bagi perbelanjaan merangkumi pengurusan atlet dan jurulatih, pengurusan prestasi, program pembangunan dan perkhidmatan sokongan.

Fasa pertama program itu membabitkan 19 PSK dan 23 jenis sukan bagi menyokong program Podium dan pelapis kebangsaan sepanjang tahun 2024.-MyMetro Online