Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Skor Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) direkodkan pada tahap sederhana iaitu 71.91, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan itu sekali gus mempamerkan terdapat tekanan yang mendorong masalah kesihatan membabitkan golongan berkenaan.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) berkata skor itu wajar digunakan sebagai petunjuk awal bagi mengenal pasti masalah terbabit dalam kalangan belia di negara ini.

Katanya, keadaan terbabit boleh mendorong kepada masalah kesihatan mental lebih serius, jika tidak ditangani segera selain menyifatkan indeks itu sangat signifikan, terutama mengenai cabaran sosial dan ekonomi dihadapi generasi muda.

MyMHI’23 dibangunkan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), selain akan menjadi alat pengukur utama untuk menilai tahap kesihatan mental belia berumur antara 15 hingga 30 tahun di negara ini.

“Merujuk kepada pencapaian domain (dalam MyMHI’23), domain pengalaman hidup mencatatkan skor tertinggi iaitu 88.51 dan berada pada tahap memuaskan.

“Bagaimanapun, domain persekitaran merangkumi gaya hidup, keperibadian individu, sokongan sosial, pengendalian tekanan dan minda sihat merekodkan skor terendah iaitu 65.45.

“Secara keseluruhan, majoriti belia tidak terdedah dengan pengalaman negatif seperti penderaan dan buli sepanjang kehidupan mereka, selain skor ini wajar dijadikan petunjuk prestasi utama nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JKPB Bil. 2/2024 dan Pelancaran Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia di Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta timbalannya, Adam Adli Abd Halim.

Ahmad Zahid turut mendedahkan, buli siber, teknologi dan gaya hidup adalah antara tujuh faktor dikenal pasti sebagai punca bunuh diri dalam kalangan belia di negara ini.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, JKPB memainkan peranan penting menyelaraskan isu pembangunan belia, membabitkan keputusan dasar seluruh kementerian dan agensi bagi mencapai kesepakatan menyeluruh.

Selain itu, katanya, Presiden dan Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia dilantik sebagai ahli tetap JKPB, berkuat kuasa pada mesyuarat akan datang.

“Kita amat prihatin mengenai aspek kesejahteraan mental dalam kalangan belia yang menjadi asas keseimbangan diri dan sosial kerana stress dan ‘anxiety’ (kebimbangan) mengakibatkan berlakunya kejadian bunuh diri.

“Justeru, antara syor dipersetujui dalam mesyuarat termasuk pembabitan menyeluruh kementerian dan agensi dalam melaksanakan intervensi kesihatan mental lebih berkesan, khususnya bagi golongan belia.

“Selain itu, garis panduan untuk memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga atau rakan terdekat yang terkesan akibat kes cubaan atau kejadian bunuh diri turut dibincangkan secara serius.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk menangani cabaran kesihatan mental belia sebagai isu penting yang memerlukan tindakan segera dan sokongan menyeluruh daripada semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Adam Adli berkata, trend kejadian bunuh diri dalam kalangan belia berusia 15 hingga 30 tahun mencatatkan penurunan drastik kepada 66 kes yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, jumlah itu mencatatkan penurunan daripada 125 kes bunuh diri dalam kalangan belia pada 2022, manakala 2021 (154 kes).-BH Online