Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan bahawa kes buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membabitkan pegawai kadet tahun kedua di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan.

Perkembangan itu disahkan oleh Zambry dan ketika ditanya mengenai siasatan kes itu oleh Kementerian Pertahanan, beliau hanya menjawab ‘ya’.

Beliau berkata, terdapat dua institusi yang bertanggungjawab ke atas pelajar iaitu UPNM dan ALK.

Katanya, pelajar akan berada di bawah tanggungjawab UPNM bagi mengikuti kuliah bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dan kemudiannya daripada jam 5 petang hingga pagi keesokan harinya di bawah bidang kuasa ALK.

“Ia agak unik sikit dalam konteks UPNM ini kerana mereka datang ke sini, sebahagian daripadanya akan menjalani latihan pegawai kadet dan mereka diletakkan di bawah ALK. Sebelah pagi, mereka pergi ke kuliah.

“Kejadian buli membabitkan seorang pegawai kadet yang ditekap menggunakan seterika oleh seniornya berlaku dalam kawasan ALK di Sungai Besi.

“Bagaimanapun, kita tidak akan sesekali berkompromi dengan kes buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) walaupun ia berlaku di luar kawasan terbabit namun kita tidak boleh untuk melepaskan begitu sahaja. 

“Seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), apa saja dan di institusi mana sekali pun, macam dalam konteks ALK, di mana-mana, di sekolah, kolej, universiti, akademi… Semuanya kita berikan perhatian serius.

“Ini kerana perbuatan buli ini yang melampau, tidak boleh kita benarkan sama sekali,” katanya sambil mengesahkan siasatan dalaman sedang dijalankan oleh Kementerian Pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid UPNM, hari ini, sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di universiti berkenaan.

Semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan yang pihaknya sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di ALK, UPNM, Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.

Menurut ATM yang mengesahkan kejadian itu, ia membabitkan pelajar kadet yang dibuli seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.-BH Online