KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperhebat inisiatif memberdayakan komuniti India di negara ini, khususnya menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diarah menyelaras dan memperbanyak program berkaitan bagi memastikan peruntukan ini mencapai matlamat.
Beliau berkata, perkara itu akan diselia oleh Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan.
“Saya tegaskan pendirian kerajaan untuk terus memperhebatkan inisiatif bagi memberdayakan komuniti India di negara ini, khususnya menerusi MITRA.
“Ini termasuk menerusi peruntukan yang diumum dalam Belanjawan 2025 untuk melaksanakan pelbagai program, termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Anwar berkata, iltizam kerajaan dan sokongan semua pihak khususnya pimpinan masyarakat India, akan terus memperkukuh MITRA dan merealisasikan hasrat memartabat masyarakat India di negara ini.-BH Online