Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinannya akan terus memperjuangkan pembaharuan dan menegakkan tadbir urus yang baik. 

Dalam kenyataan di Facebook, Anwar yang juga Presiden PKR berkata disebabkan itulah Kerajaan MADANI bermula dengan memperbaiki tatakelola, bahawa pelantikan sebagai menteri atau perdana menteri itu bukan kesempatan memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga. 

“Saya tidak akan berhenti mengulangi peringatan ini meskipun ada pihak terutama pembangkang yang menjadi cacing kepanasan dan sakit hati setiap kali mendengar perkataan tatakelola. 

“Namun usaha ini masih panjang untuk kita berjaya dalam memerangi rasuah yang sistemik dan menjalar ke segenap peringkat,” katanya.

Alhamdulillah, Kerajaan MADANI berjaya dibentuk dengan kukuh dan stabil, yang membolehkan kita menetapkan dasar yang jelas terkait perindustrian, transformasi digital, AI, teknologi hijau, semikonduktor – dan tugas saudara-saudara untuk menerangkan dasar-dasar ini kepada rakyat. 

Jentera KEADILAN dan pengkaderan anggota juga perlu diperhebat dan dilatih untuk memahami Perlembagaan, asas perjuangan dan teras kekuatan Malaysia yang berbilang kaum, serta konsep MADANI yang berteraskan nilai kemanusiaan.

Anwar berkata demikian susulan perasmian Konvensyen KEADILAN Negeri Perak petang semalam. 

Sekalung penghargaan buat rakan-rakan parti gabungan Kerajaan MADANI yang turut bersama di Ipoh, khususnya sahabat dalam Pakatan Harapan (PH) yang setia melalui liku-liku dan pahit getir perjuangan.

Amanat di konvensyen ini saya mulakan dengan memetik nukilan puisi WS Rendra – ‘Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata’ – bagi memperingatkan rakan-rakan dalam KEADILAN untuk menggilap semula perjuangan dan tidak tenggelam dalam kekuasaan. 

“Ramai daripada rakan-rakan kita yang menang tatkala berhempas pulas berjuang melawan keperitan terhumban di penjara atau di jalanan, namun gagal tatkala di tampuk kekuasaan,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar mengingatkan ahli PKR bahawa asas parti adalah perjuangan untuk bangkit daripada derita demi cita-cita dan idealisme memperbetul kesilapan, dan menentukan bahawa kuasa adalah amanah yang harus dipikul dan dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur.-BH Online