IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu pemilihan PKR disegerakan.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata, pemilihan yang dipercepatkan akan membuka ruang kerjasama antara tenaga muda dengan pemimpin lama untuk berganding bahu menguruskan parti dengan lebih efektif.
Katanya, keputusan untuk tidak menangguhkan pemilihan PKR itu diambil dalam Mesyuarat Biro Politik parti, semalam.
Beliau berkata, penangguhan tidak diperlukan kerana tarikh jangkaan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) masih jauh.
“Ada keperluan untuk membina generasi dalam kalangan angkatan muda, wanita. Mereka mesti diberi lebih ruang, cabang-cabang juga begitu.
“Jadi kita harus melihat kemungkinan menyegerakan pemilihan parti… tetapi tidak dengan cara dahulu, hiruk-pikuk dan kacau-bilau.
“Kena ikut peraturan… jadi kita sedang kaji (mekanisme pemilihan),” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perasmian Konvensyen Keadilan Perak, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; dan Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, sebelum ini dipetik berkata ada perbincangan serta pandangan dikemukakan mengenai penangguhan pemilihan dibuat selepas PRU16, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Bagaimanapun, Fuziah berkata, ia hanya perbincangan dan tiada keputusan tuntas dicapai.
Sementara itu, Anwar berkata, mesyuarat semalam turut memutuskan bahawa kerjasama bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan harus diteruskan, malah lebih akrab lagi terutama di Semenanjung Malaysia.
Menyentuh mengenai pemerkasaan parti pula, Anwar berkata, asas PKR sebagai parti yang membela nasib rakyat mesti dipertahankan.
“Malah, saya tegur menteri-menteri… ya betul, tugas utama di kementerian tetapi jangan lupa tidak seorang pun (menteri) diangkat kalau tiada kekuatan asas dari parti yang mendukung kita. Jadi tanggungjawab turun ke bawah gilap semangat mereka (rakyat),” katanya.
Anwar turut menekankan, pengalaman melihat pemimpin yang tamak dan hilang sabar akibat perebutan harta serta jawatan, harus dijadikan pengajaran. – BERNAMA