Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pasir Puteh: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menjalankan siasatan dan pemeriksaan terhadap anggur import jenis ‘Shine Muscat’ yang dikatakan mengandungi sisa kimia berbahaya sebagaimana dakwaan oleh Thailand.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada agensi berkaitan termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk membuat pengesahan.

Katanya, sekiranya benar anggur berkenaan mempunyai kandungan sebagaimana yang didakwa, pihaknya akan membuat pengumuman dan tindakan susulan akan diambil.

“Bagaimanapun setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara ini. Pengesahan isu ini akan dibuat.

“Kita amat teliti berhubung perkara ini kerana ia membabitkan soal kesihatan dan pemantauan berterusan akan dilakukan.

“Jika dikesan mengandungi bahan kimia berbahaya, kita akan ambil tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Kumpulan Pengguna Air (KPA) IADA Kemasin Semerak, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Rangkaian Amaran Racun Perosak Thailand (Thai-PAN) memberi amaran berhubung pencemaran anggur Shine Muscat, selepas mendapati kebanyakan sampel yang dikumpulnya mengandungi sisa kimia berbahaya melebihi paras maksimum yang dibenarkan.

Thai-PAN dan Majlis Pengguna Thailand (TCC) menggesa Kementerian Kesihatan Awam untuk mengambil tindakan segera, termasuk mengarahkan pengimport dan pengedar untuk melabel negara asal anggur Shine Muscat yang diimport.-Harian Metro Online