Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Iskandar Malaysia mencatat pelaburan komited sebanyak RM40.3 bilion, manakala pelaburan direalisasikan pula mencecah RM22.5 bilion bagi tempoh Januari hingga September lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dimaklumkan ketika beliau mempengerusikan mesyuarat ke-33 Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat itu turut membincangkan isu-isu berkaitan hala tuju dan inisiatif yang telah digariskan untuk Iskandar Malaysia, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan memberi anjakan kepada ekonomi negara.

“Mengambil contoh ikhtiar pewujudan Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia-Johor (IMFC-J), saya menekankan kepentingan keberkesanan pelaksanaan dari segi proses dan tempoh masa kelulusan sesuatu permohonan, selaras dengan strategi kerajaan dalam memudah cara perniagaan,” katanya dalam hantaran melalui laman X.

Anwar berkata, dalam konteks Johor, pelbagai projek baharu dan sambungan yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 perlu disambut dengan pelaksanaan segera serta berkesan.

Beliau berkata, Johor juga perlu memanfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 berikutan beberapa mesyuarat akan dianjurkan di negeri itu.

“Natijahnya, limpahan manfaat hanya akan dapat dirasai melalui perancangan serta pelaksanaan yang bersepadu dan berkesan,” katanya. – BERNAMA