Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, hal ini memandangkan jumlah pekerja asing dalam negara setakat 15 September lalu sudah menghampiri jumlah siling yang ditetapkan.

Katanya, jumlah pekerja asing dalam negara dipandu oleh ketetapan Kementerian Ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu sebanyak 15 peratus daripada keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara.

“Kerajaan akan meneliti dan membuat pertimbangan semula berhubung ketetapan pembukaan kuota penggajian pekerja asing.

“Maka, dimaklumkan pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing adalah diteruskan sehingga suatu tarikh akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, tempoh pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 sudah tamat pada 31 Disember lalu dan kerajaan tidak mempunyai perancangan melaksanakan program pemutihan baharu pada masa depan.– BERNAMA