Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Sebuah kapal misi pelbagai guna serta dua kapal ronda generasi baru antara aset akan diperoleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui peruntukan Belanjawan 2025.

Pada masa sama, enam kapal akan melalui program Fasa 2 ‘Ship Life Extension Programme’ (SLEP) (Program Pemanjangan Usia Kapal).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan bagi Kementerian Dalam Negeri ialah RM19.5 bilion, dan sebahagian daripada dana itu akan digunakan bagi perolehan aset berkenaan, serta SLEP.

Pada masa sama, Anwar berkata, isu Laut China Selatan perlu diselesaikan di meja rundingan.

“Kita kekal dengan pendirian bahawa isu ini boleh ditangani secara aman. Bagaimanapun, tidak bermakna kita bertoleransi dengan hak dan kedaulatan negara.

“Sebanyak RM560 juta disediakan untuk memperkasa sempadan negara termasuk bagi membina baharu dan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang dan Bukit Berapit,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini. 

“Selain itu, dua pos sempadan baharu dibina di Bantul dan Serudung, Sabah, manakala badan penguat kuasa pula dibekalkan dengan teknologi dron serta kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi.

“Pembangunan pekan-pekan bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan Selatan Thailand turut diberi keutamaan mencakup penyediaan prasarana asas serba lengkap dengan peruntukan hampir RM1 bilion,” tambahnya lagi.

Susulan kekangan bekalan air di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), kata beliau, RM5 juta disediakan bagi membekalkan air bersih secara hibrid menggunakan air hujan dan air bawah tanah.-My Metro Online